"Banyak perkara yang saya tidak terfikir akan dilakukan Tun Dr Mahathir," kata Bekas Pengerusi Bersama Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan.

Jelasnya, beliau juga tidak pernah menyangka Dr Mahathir akan disiasat polis.

"Saya tidak terfikir saya akan lihat Tun Dr Mahathir akan disoal atau disiasat polis.

"Malah, Saya juga tidak terfikir akan melihat beliau dalam Himpunan Bersih,"katanya dalam semasa majlis pelancaran buku 'Malaysia Post-Mahathir, A Decade of Change?' hasil karya Professor James Chin dan Joern Dosch di Sunway University, di sini hari ini.

Ambiga menjelaskan, mutakhir ini, selain Tun Dr Mahathir, banyak usaha dilakukan oleh Tan Sri Rafidah Aziz dan banyak lagi 'orang lama' yang mahukan perubahan dalam sistem pemerintahan negara.

"Ramai 'orang lama' yang mengutarakan pelbagai isu termasuk penyalahgunaan kuasa dan kegagalan institusi negara kita.

"Namun, sudah tentu apa yang mereka bangkitkan sudah tentu adalah mengenai kekebalan kuasa, dan sistem Tun Mahathir yang digunakan (sehingga kini)," ujar beliau.

Bagaimanapun katanya, usaha dilakukan mereka untuk mengubah sistem pemerintahan sekarang adalah dilihat sukar.

"Saya rasa Tun Dr Mahathir cuba untuk melawan sistem sekarang dan ia pastinya bukan mudah, seperti yang saya katakan itu kubu.

"Mereka cuba, tetapi seperti yang saya katakan, saya tidak pasti mereka akan berjaya," tegas bekas presiden Majlis Peguam itu.

Dalam pada itu, mengulas penolakan Kumpulan G25 bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir dan Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ambiga berkata, secara peribadi, beliau sedia membantu bekas perdana menteri itu untuk membaiki sistem pemerintahan sekarang.

"Jika benar Tun Dr. Mahathir bimbang dengan apa yang berlaku sejak 30 tahun kebelakangan ini, dan jika ada pengesahan yang mengatakan sistem (pemerintahan) itu adalah masalahnya, dan beliau cuba untuk memperbaikinya serta bukan sekadar menyingkirkan seorang Perdana Menteri, maka saya rasa siapa sahaja yang cuba melakukan demikian, kami terbuka untuk bekerjasama dengannya," jelas Ambiga.

Bagaimanapun katanya, kerjasama itu hanya akan dilakukan jika berlaku perubahan secara menyeluruh dilakukan dalam sistem berkenaan.

"Ia perlu mengubah keseluruhan sistem dan bukan setakat menyingkirkan Najib dan membiarkan UMNO memerintah seperti sekarang," katanya lagi.

Dalam pada itu, Ambiga turut mengecam serbuan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Malaysia (SKMM) ke atas pejabat portal berita The Star Online dan Malaysiakini pada Jumaat.

"Serbuan terbaru ke atas ibu pejabat Malaysiakini dan STAR, apa yang berlaku? Apakah dilakukan media berkenaan? Serbuan itu suatu yang tidak patut dilakukan," tegas beliau.

Katanya, ia sekali gus menunjukkan kedaulatan undang-undang negara pada masa sekarang dilanda masalah.