“Saya tidak berada di situ dan saya baru tahu mengenai perkara (pemberian wang) tesebut pada pagi tadi.”

Itu kata-kata calon Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, M. Manogaran yang mendakwa tidak mengetahui tentang dakwaan pemberian wang kepada Orang Asli yang tular di media sosial pada Ahad.

Namun begitu, Manogaran pihaknya akan membuat siasatan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Saya tidak berada di situ (majlis berkenaan) dan hanya dapat tahu tentang perkara berkenaan pada pagi tadi.

“Jadi, beri saya masa untuk menyiasat perkara tersebut dengan lebih terperinci sebelum memberi respon,” katanya dalam sidang media selepas lawatannya ke Kampung Orang Asli Sungai Relong Pos Mensun pada pagi Ahad.

Ditanya sama ada wang tersebut datang daripada beliau selaku calon PH, beliau menafikannya.

Dakwaan yang tular di media sosial susulan gambar wanita yang memakai baju PH yang seolah-olah sedang mengedarkan wang kepada Orang Asli Cameron Highlands. - Sumber: media sosial

“Bukan saya mengaturkan perkara sedemikian (pemberian wang). Ia didakwa berlaku selepas proses penamaan calon.

"Berikan saya sedikit masa, saya tidak boleh cakap apa-apa lagi mengenainya sekarang,” tambahnya.

Manogaran berkata demikian apabila ditanya mengenai dakwaan yang tular di laman sosial susulan gambar wanita yang memakai baju PH yang seolah-olah sedang mengedarkan wang kepada Orang Asli Cameron Highlands.

Sementara itu, Penolong Ketua Pusat Operasi Jelai PH, Arvind Bharet berkata dalam satu kenyataan bahawa wang yang diagihkan dalam gambar yang tular itu adalah wang pembayaran balik penampungan kos petrol kepada sukarelawan-sukarelawan PH yang datang dengan motosikal sendiri dari rumah mereka di kawasan pedalaman ke Tanah Rata pada hari penamaan calon.

“Pembayaran balik ini akan diisytiharkan sebagai sebahagian daripada perbelanjaan pilhan raya.

“Kesemuanya dilaksanakan mengikut lunas undang-undang, DAP sebagai rakan komponen Pakatan Harapan percaya kepada satu pilihan raya yang bersih dan telus dan kami akan terus memegang prinsip ini dalam kempen kami,” kata Arvind menerusi kenyataan yang dikeluarkan sebagai respon kepada dakwaan tersebut.

Susulan kejadian tersebut, Pemuda Barisan Nasional (BN) telah membuat satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada petang Ahad.

Pemuda UMNO Pahang turut membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Koyan dan satu lagi laporan polis dibuat Pemuda MIC Kebangsaan di Balai Polis Tanah Rata berkenaan dakwaan yang sama.