Tutup

Segera institusikan Muafakat Nasional - Asyraf Wajdi

Segera institusikan Muafakat Nasional - Asyraf Wajdi
ASYRAF WAJDI: Muafakat Nasional ini bukan milik eksklusif mana-mana pimpinan mahupun parti, tetapi ia adalah manifestasi suara hati akar umbi yang mahu umat berpadu. - Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO menggesa kepimpinan tertinggi parti agar segera menginstitusikan Muafakat Nasional bukan sahaja melibatkan UMNO-Pas tetapi juga rakan komponen Barisan Nasional (BN) dan Friends of BN.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata sudah tiba masa UMNO bergerak dari era Perikatan selama 21 tahun kepada era Barisan Nasional selama hampir 46 tahun dan kini berhijrah kepada Muafakat Nasional.
Pada masa sama katanya, pemimpin atasan juga diingatkan tidak mensia-siakan kesepakatan berkenaan.

"Pemuda ingin ingatkan kepada semua pimpinan di atas, jangan sesekali membuat onar setelah berpakat. Jangan sesekali mempersia-siakan harapan umat. Jangan memperjudikan nasib rakyat.
"Muafakat Nasional ini bukan milik eksklusif mana-mana pimpinan mahupun parti. Tetapi ia adalah manifestasi suara hati akar umbi yang mahu umat berpadu. Ia adalah cerminan denyut nadi rakyat, yang mahu Islam meneraju.

"Ia juga adalah isyarat rakyat mahukan Malaysia dengan rakyatnya yang pelbagai bangsa dan agama kembali bersatu," katanya semasa menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO ketiga-tiga sayap parti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Ujarnya lagi, perjalanan Muafakat Nasional baru bermula dan pasti akan menembuh pelbagai onak dan duri.

"Yang penting, Muafakat Nasional mestilah melangkaui soal percaturan kuasa dan pengagihan kerusi semata-mata. Bukan juga sekadar menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) untuk kembali berkuasa.

"Sebaliknya Muafakat Nasional harus menyediakan tawaran baharu kepada rakyat, terutamanya menyentuh soal perut dan untung-nasib mereka untuk hidup secara aman dan harmoni di tanahair tercinta," ujarnya.

Tambahnya, Muafakat Nasional bukannya suatu yang baharu dan ia merupakan kesinambungan konsep perkongsian kuasa dengan mengekalkan resipi Malaysia yang asal sebagai yang dijelaskan sebelum ini.

"Sebab itulah kerjasama UMNO dan Pas tidak pernah bercita-cita mendirikan kerajaan yang hanya didominasi orang Melayu dan Islam semata-mata. Muafakat Nasional juga tidak wajar mengkesampingkan kaum-kaum lain yang telah menjadi sebahagian daripada warga tanahair tercinta.

"Atau kata mudahnya,Muafakat Nasional bukannya seperti pakatan rapuh PH, yang punya 4 parti. Tetapi tidur sahaja sebantal namun hakikatnya berbeza-beza mimpi," tambahnya.