Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapha Mohamed menyifatkan PAS kehilangan faktor penyatuan sejak setahun kehilangan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau turut merumuskan bahawa apa yang berlaku terhadap sejak 12 bulan lalu adalah kesan serta impak ketiadaan Allahyarham yang merupakan seorang tokoh yang amat disegani.

"Tuan Guru Nik Aziz seorang pemimpin hebat, beliau berjaya menyatukan ahli PAS bukan sahaja di Kelantan bahkan di seluruh negara serta ahli-ahli pembangkang," kata Mustapa mengulas mengenai genap setahun pemergiaan bekas Mursyidul Am PAS itu.

Tambahnya, senario pasca pemergian Allahyarham juga memberi kesan besar kepada blok pembangkang secara keseluruhannya.

"Jadi, hari ini bila beliau tiada, kita dapati parti pembangkang berpecah.. kita nampak mereka hentam-menghentam antara satu sama lain," ujar beliau.


Bagaimanapun, Mustapa mengingatkan UMNO Kelantan tidak boleh alpa dengan 'kecederaan parah' yang terus membarah dalam PAS ketika ini.

Sebaliknya, beliau menyeru seluruh jentera UMNO Kelantan menggiatkan usaha termasuk meningkatkan jumlah pengundi untuk misi merampas semula Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Tarikh 12 Feb 2016 merupakan genap setahun pemergian Allahyarham Nik Abdul Aziz.

Sepanjang tempoh itu, lanskap politik PAS telah berubah dengan menyaksikan perpecahan yang membawa kepada penubuhan Parti Amanah Negara (Amanah) dan PAS keluar daripada gabungan pakatan pembangkang.

BACA: Setahun pemergian Tok Guru: 5 mutiara kata dari Nik Aziz