Buat pertama kali, sejak penubuhannya pada 8 September 2016, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal menghadapi pemilihan di semua peringkat, bermula 25 Januari ini.

Dalam satu kenyataan, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, Tan Sri Syed Hamid Jaafar Albar berkata Bersatu akan mengadakan pemilihan barisan jawatankuasa di peringkat Cawangan, Bahagian dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) termasuk sayap-sayap Srikandi dan Armada.

“Persidangan cawangan-cawangan akan memilih jawatankuasa cawangan masing-masing dan jawatankuasa bahagian di mana cawangan-cawangan tersebut berada.

“Persidangan cawangan hendaklah didahului oleh persidangan Srikandi cawangan dan persidangan Armada cawangan yang akan memilih jawatankuasa Srikandi dan Armada cawangan masing-masing dan jawatankuasa Srikandi dan jawatankuasa Armada bahagian masing-masing,” kata Syed Hamid.

Seterusnya, beliau berkata persidangan peringkat Bahagian yang dijadualkan berlangsung secara serentak pada 4 April akan memilih kepimpinan parti di peringkat Pusat.

Persidangan Srikandi dan persidangan Armada bahagian pula, jelas beliau lagi, hendaklah diadakan sebelum persidangan bahagian manakala persidangan Srikandi dan Armada bahagian akan memilih jawatankuasa Srikandi dan jawatankuasa Armada Malaysia.

Dalam pada itu, Syed Hamid turut mengingatkan ahli-ahli yang ingin bertanding bagi jawatan-jawatan di peringkat Bahagian, termasuk Srikandi dan Armada agar mendaftarkan diri kepada petugas Jawatankuasa Pemilihan Parti di pejabat Bahagian masing-masing pada 13 Januari dari jam 9 pagi hingga 2 petang.

“Hanya calon yang disahkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti akan dimasukkan ke dalam senarai calon untuk diedarkan kepada ahli-ahli semasa pemilihan sempena persidangan cawangan-cawangan,” katanya lagi.

Pada Julai tahun lepas, Timbalan Presidennya Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dilaporkan berkata Bersatu telah meluluskan pindaan perlembagaan bagi membolehkan pemilihan parti itu ditangguhkan selama 18 bulan bermula daripada tarikh sepatutnya ia diadakan.

Beliau berkata melalui penangguhan itu, Bersatu boleh mengadakan pemilihan parti sama ada hujung tahun ini ataupun selewat-lewatnya Jun tahun ini.

BACA: Bersatu lulus pindaan untuk tangguh pemilihan parti