Selepas kira-kira setahun tidak bertemu rakyat di Libaran, Tan Sri Musa Aman akhirnya turun ke kawasan untuk mengadakan program berbuka puasa sempena Ramadan.

Program yang dihadiri lebih 5,000 pengunjung itu diadakan di perkarangan rumah beliau di Kampung Sungai Kayu, Sandakan, pada Ahad.

Dalam program itu, Musa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga turut menjelaskan faktor-faktor beliau tidak pulang ke Libaran sebelum ini.

Menurutnya, faktor utama adalah kerana menghadapi masalah kesihatan.

"Selain itu, saya juga menghadapi kes mahkamah di Kuala Lumpur," katanya ketika berucap dalam program berkenaan.

Ramai penduduk Libaran menghadiri program tersebut sehingga keadaan menjadi sesak termasuk laluan trafik ke rumah beliau.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun lalu, Musa gagal mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Menteri Sabah.

Beliau kemudiannya berlepas ke London untuk beberapa bulan. Sekembalinya beliau ke Malaysia, Musa dikatakan tidak bertemu masyarakat Libaran.

Program ini merupakan program pertama beliau selepas sekian lama menyepi.