Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal menyeru ahli UMNO menyelesaikan masalah yang melanda akar umbi dahulu sebelum memberi tumpuan kepada isu lain termasuk berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Shafie berkata, kepercayaan daripada akar umbi perlu dikekalkan selain menitikberatkan keperluan mereka.

"Tetapi kalau masalah rakyat di peringkat bawah tak dapat diatasi dalam keadaan yang perlu bagi kita menghadapi pilihan raya yang ke 14, maka itu tidak akan memungkinkan untuk kita memperkasa parti," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penutupan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bahagian Kuala Kubu Bharu pada Sabtu.


Shafie berkata, pendiriannya adalah untuk meneruskan perjuangan dalam UMNO walaupun tiada jawatan dalam kabinet.

"Saya merupakan salah seorang pengasas UMNO Sabah dan insyaAllah saya akan teruskan perjuangan saya, kekal untuk parti UMNO walaupun saya tidak punya jawatan selaku menteri dalam pentadbiran kerajaan," katanya.

Shafie juga menambah, setiap ahli UMNO boleh memberi apa jua pandangan demi kebaikan parti.

"Kita menyokong, bukan tak menyokong tapi ada setengah-setengah yang dilakukan yang kita rasa perlu ada pandangan kita pendapat kita,

"Kita akan bagi pandangan. Itu dalam pendirian saya dan kita nak menegakkan sesuatu yang penting apabila kita bagi pandangan atas kapasiti dan niat bahawa memperkasakan parti kita, memperkasakan kerajaan kita.

"Pandangan itu dilihat negatif apabila kita utarakan sesuatu perkara untuk kebaikan bukan setakat kerajaan, tetapi parti kita. Kita akan sentiasa beri sokongan kalau ia untuk kepentingan rakyat," katanya.

Shafie sebelum ini merupakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Pada 28 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menggugurkan beliau dari Kabinet.