Pakatan Harapan (PH) Perak telah menyiapkan proses pengagihan kerusi Exco dalam kerajaan negeri dan senarai kesemua nama tersebut akan disembah maklum untuk mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah esok.

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkata, 10 nama Exco yang disenarai itu akan meliputi kesemua parti di dalam PH.

“Senarai telah ada dan senarai tersebut akan saya sembah maklum kepada Sultan esok pagi, Exco yang boleh dilantik adalah seramai 10 orang dan minimum empat orang.

“Senarai nama itu kita telah cuba mengikut komposisi (parti-parti dalam PH) tapi ia terpulang kepada perkenan Sultan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis penghargaan dan terima kasih kepada rakyat Perak di sini.

Beliau berkata satu sidang media khas akan dibuat dalam masa terdekat mengenai Exco yang bakal dilantik setelah mendapat perkenan Sultan Perak.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal menegaskan Pari Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak akan menghalang mana-mana individu untuk menjadi ahli parti itu.

Namun, beliau yang juga pengerusi PPBM negeri berkata, parti akan melakukan beberapa saringan terlebih dahulu sebelum menerima permohonan yang dibuat.

“PPBM ini terbuka, kita tidak tahan orang ramai daripada jadi ahli kalau kita bersifat menutup keahlian dan jadi macam UMNO 2.0 sebenarnya, kita tak boleh halang perkara itu kerana ia adalah satu demokrasi.

“Kita terima semua orang, mereka berhak isi borang permohonan, (tapi) isi borang permohonan tak semestinya diterima sebagai ahli,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penolakan permohonan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi yang dikaitkan dengan pengjhianatan kepada kerajaan negeri Pakatan Harapan negeri Perak pada tahun 2009 untuk menyertai PPBM baru-baru ini.

Ahmad Faizal yang juga Ketua Pakatan Harapan Perak berkata keputusan itu diambil berdasarkan prinsip bahawa setiap kemasukan individu ke dalam Pakatan Harapan akan dipertimbang dengan tegas supaya segala episod duka rakyat tidak berulang.