Pas sudah melengkapkan senarai nama calon yang akan diketengahkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan, mereka yang bakal ditampilkan turut merangkumi calon dari Dewan Himpunan Pas Pusat (DHPP) yang bukan beragama Islam.

Katanya, Pas juga kekal dengan ketetapannya dalam muktamar lepas iaitu melalui Gagasan Sejahtera melibatkan parti Ikatan Bangsa Malaysia, badan bukan kerajaan dan individu dari badan bukan kerajaan akan dipilih sebagai calon pilihanraya.

"Kita akan bahagikan dalam kalangan Gagasan Sejahtera, tidak ditetapkan berapa lagi. Saya boleh sahkan calon-calon Pas sudah ada untuk semua kawasan di seluruh negara.

"Kita sudah minta semua kawasan Pas mengemukakan (calon), kita tidak ketandusan calon,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Katanya, tapisan calon sudah dibuat oleh Majlis Syura Ulamak pada 20 dan 21 Disember lepas.

Dalam tapisan berkenaan jelasnya, terdapat muka lama yang tidak dicalonkan manakala di Kelantan menyaksikan lebih 30 peratus muka baru akan ditampilkan sebagai calon PRU14.

Takiyuddin berkata, Pas akan bertanding di lebih 100 kerusi Parlimen berbanding pilihanraya umum lepas iaitu 73 kerusi.

Dalam perkembangan berasingan katanya, Pas akan mengadakan muktamar tahunannya pada Mei depan di Pahang.

“Ibu pejabat parti juga sudah mengarahkan supaya lebih tujuh ribu cawangan di seluruh negara mengadakan mesyuarat agong tahunan bermula esok sehingga 10 februari depan.

“Bagi 198 kawasan Pas seluruh negara melibatkan Dewan Pemuda, Muslimat, mereka perlu mengadakan mesyuaratnya bermula 11 Februari sehingga 18 Mac.

“Sementara Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat negeri pula bermula 1 sehingga 20 April disusuli dengan muktamar tahunan pada 4 hingga 6 Mei depan,” jelasnya.

Katanya, muktamar kali ini tidak melibatkan pemilihan dan tarikh tersebut dijangka tidak melibatkan tarikh (PRU14) kerana tempoh matang Parlimen ialah pada bulan Jun akan datang.