Pas senada dengan UMNO ingin Parlimen dibubarkan bagi menyelesaikan kemelut yang melanda negara ketika ini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pilihan raya raya umum (PRU) juga perlu dilakukan dan menyerahkan kembali mandat kepada rakyat.

Ahli Parlimen Marang itu berkata pihaknya bersedia pada bila-bila masa untuk menghadapi PRU ke-15 (PRU15).

"Pas tetap memilih untuk mengadakan pilihan raya. Pas bersedia, pilihan raya semula, balik pada rakyat.

"Kecelaruan politik? Ya, kecelaruan. Baik serah balik kepada rakyat," kata Abdul Hadi.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rusila pada Jumaat.

Menurutnya lagi, dakwaan wujudnya usaha membeli undi Ahli Parlimen bagi mendapatkan sokongan di Dewan Rakyat antara sebab lain mengapa pilihan raya perlu diadakan.

Terdahulu gabungan blok pembangkang sepakat Parlimen harus dibubarkan bagi menyelesaikan kemelut politik yang belum nampak tanda-tanda akan reda.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, syor berkenaan dikemukakan selepas gabungan Muafakat Nasional mengadakan pertemuan sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong, al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah pada Selasa.