Semua pihak tidak perlu melatah dengan kenyataan Otai Reformis mengenai tarikh serah kuasa jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata pihaknya sentiasa menunggu tarikh yang akan ditetapkan kumpulan itu selain keputusan serta perancangan mereka yang dijangka diumum minggu hadapan.

“Namun, siapa Otai Reformis yang hendak paksa dan tetapkan tarikh serah kuasa jawatan perdana menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar?

“Otai Reformis tidak perlu bersikap lebih sudu dari kuah. Kalau Anwar sendiri kata tidak akan meletakkan satu tarikh tetap penyerahan jawatan perdana, kenapa pula Otai Reformis hendak bersikap kalut?

“Semua orang setuju dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berpendapat peralihan jawatan Perdana Menteri tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa kerana proses itu bukan semudah mahu menukar kasut.

"Apa yang penting ialah urus tadbir negara ke arah bina semula Malaysia Baharu yang harus diberi keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.

BACA: Undi Ahli Parlimen tentukan tempoh Tun M serah jawatan kepada Anwar - Khairuddin

BACA: Serah kuasa PM: Otai Reformis jangan ugut Dr Mahathir - Khairuddin

Sebelum ini, Setiausaha Agung Otai Reformis, Abdul Razak Ismail menegaskan pihaknya memutuskan untuk menetapkan tarikh akhir untuk penyerahan jawatan perdana menteri kepada Anwar.

Abdul Razak menambah tarikh itu akan ditetapkan sama ada Januari atau Mei tahun depan selari dengan gesaan mereka sebelum ini.

Dalam pada itu, katanya, keseluruhan rakyat kini ingin melihat Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin oleh Dr Mahathir menyelesaikan semua permasalahan sosio-ekonomi negara terlebih dahulu.

“Kemakmuran ekonomi negara untuk menjamin kesejahteraan kehidupan rakyat wajib diutamakan dan bukan isu serah jawatan perdana menteri yang perlu diutamakan.

“Sesungguhnya Otai Reformis mesti ingat rakyat memberi mandat kepada PH untuk membina semula negara yang dirosakkan oleh rejim kleptokrasi bukan dan untuk berebut siapa hendak menjadi perdana menteri.

“Kita sedang berada di landasan yang baik masa kini. Seandainya perdana menteri hari ini mampu untuk menyelesaikan setiap permasalahan negara dengan cara terbaik, maka biarlah Dr Mahathir memimpin kita terlebih dahulu tanpa sesiapapun memberi tekanan untuk menyerah kuasa seperti yang diperkatakan sendiri oleh Anwar,” tegasnya.

Khairuddin turut berharap Otai Reformis menjadi pengikut yang baik dan akur kepada saranan Anwar untuk tidak memberi tekanan kepada Dr Mahathir.

“Jangan sama sekali melampaui langkah Anwar selaku ketua mereka dalam isu ini. Anwar sudah bersikap amat terbuka tetapi orang lain pula jadi lebih sudu dari kuah,” jelasnya.

Khairuddin sebelum ini memberitahu, undi Ahli Parlimen menentukan tempoh perkhidmatan Dr Mahathir sama ada harus menyerahkan kuasa perdana menteri kepada mana- mana pemimpin atau meneruskan perkhidmatan sehingga tamat tempoh pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak.