Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Sesi kedua bersama Agong bermula, ahli PKR tiba dengan bas Hop On Hop Off

Sesi kedua bersama Agong bermula, ahli PKR tiba dengan bas Hop On Hop Off
Bas Hop on Hop Off yang membawa Ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) tiba di Istana Negara jam 10.37 pagi. -Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Sebuah bas Hop on Hop Off yang membawa Ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) tiba di Istana Negara jam 10.37 pagi ini.

Antara yang dilihat menaiki kenderaan tersebut ialah Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani; Ahli Parlimen Subang; Wong Chen; dan  Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

Difahamkan, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut berada di dalam bas tersebut.

Ketibaan mereka turut disambut dengan laungan reformasi oleh penyokong-penyokong PKR yang hadir seawal pukul 9 pagi.

 
Sebelum itu, Ahli Parlimen Pagoh (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik; dan Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof turut tiba di Istana Negara bagi menghadap Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Mereka antara 132 Ahli Parlimen yang akan meneruskan sesi kedua temu bual bersama Al Sultan Abdullah.
Semalam, 90 Ahli Parlimen telah selesai menghadap Yang Di-Pertuan Agong bagi mendapatkan maklum balas untuk mereka menamakan seorang calon untuk jawatan Perdana Menteri atau mencadangkan Parlimen dibubarkan.