Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak akan memecat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir Datuk Mohd Salleh Man daripada jawatan yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, ini berikutan sikap keterbukaan dan kesetiaan ADUN PAS tersebut yang menyatakan sokongan terhadap kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan biarpun masih ahli PAS.

Guan Eng berkata, Kerajaan Pulau Pinang tidak bersikap pilih kasih kerana wakil rakyat PAS itu bersedia dan setia berkhidmat untuk kerajaan yang diterajuinya.

“Bila kita lihat dari segi sokongan dan juga komposisi, ia tak berubah dan masih sebahagian daripada kerajaan Pakatan Harapan. Maka, apabila sokongan tidak berubah, ia tidak menjadi isu.

“Dalam Pakatan Harapan, baik DAP, PKR dan Parti Amanah Negara, tiada isu dengan sokongan atau kesetiaan yang ditunjukan daripada Datuk Salleh Man. Maka saya rasa kita berfungsi seperti biasa,” ujar Guan Eng.

Guan Eng berkata demikian bagi mengulas kedudukan Salleh Man dalam kerajaan negeri Pakatan Harapan berikutan PAS pusat memutuskan parti itu adalah pembangkang di Pulau Pinang.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan, pada Khamis mengisytiharkan parti itu sebagai pembangkang di Pulau Pinang berikutan tindakan kerajaan DAP menamatkan perkhidmatan 300 anggota Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dari PAS di kawasan Parlimen Kepala Batas.

Terdahulu,dalam sidang dewan, Guan Eng yang juga ADUN Air Putih turut menjawab soalan yang dikemukakan Datuk Mohd Zain Ahmad (BN – Penaga) berhubung keputusannya memecat 300 ahli JKKK tersebut.

Menurut Guan Eng, keputusan memecat 300 daripada 1,083 anggota PAS itu adalah kerana mereka tidak bersedia untuk bersama-sama kerajaan negeri Pakatan Harapan sedangkan Salleh dengan tegas menyatakan kesetiaannya terhadap kerajaan negeri.