Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad membantah pemberhentian Datuk Marzuki Yahya oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada jawatan Setiausaha Agung parti tersebut.

Dr Mahathir, menerusi sepucuk surat kepada Muhyiddin, berkata pemberhentian Marzuki daripada jawatan tersebut adalah tidak sah dan wajar diketepikan.

Sebelum ini, Muhyiddin berkata pemecatan Marzuki itu adalah selaras dengan Fasal 13.9 Perlembagaan Bersatu dan berkuatkuasa serta merta.

Dr Mahathir, bagaimanapun, menegaskan bahawa Fasal 13.9 Perlembagaan Bersatu memang memperuntukkan kuasa atau tugas melantik setiausaha agung kepada presiden tetapi dengan syarat iaitu selepas berunding dengan pengerusi parti.



“Maksud dan aplikasi “berunding” di dalam konteks ini bukan hanya setakat Presiden memaklumkan Pengerusi tetapi ia mesti mencapai perbincangan yang bersungguh-sungguh antara Presiden dengan Pengerusi parti berkenaan urusan melantik pegawai-pegawai tersebut.

“Dalam situasi pemberhentian Marzuki daripada jawatan Setiausaha Agung Parti Bersatu oleh Tan Sri (Muhyiddin), tiada sebarang rundingan telah dilakukan antara Tan Sri dengan saya selaku Pengerusi Parti.

“Ini adalah secara jelasnya bertentangan dengan Perlembagaan Bersatu (Pindaan 2019) tersebut,” kata Dr Mahathir.





Menurut sumber parti, Marzuki mengesahkan bahawa beliau menerima surat berkenaan pada Khamis.

Dalam perkembangan yang sama, Dr Mahathir juga tidak bersetuju dengan cadangan Muhyiddin untuk melantik Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Setiausaha Agung Parti yang baharu.

Pada 1 Mac, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata Marzuki berkemungkinan akan digantikan kerana didakwa melanggar peraturan dan perlembagaan parti.


Menurut Mohd Redzuan, ia berhubung kenyataan yang mengelirukan berhubung status jawatan Pengerusi yang didakwa masih dipegang oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.