Tutup

Setiausaha Agung BN baharu? Tunggu selepas mesyuarat BN - Hishammuddin

Setiausaha Agung BN baharu? Tunggu selepas mesyuarat BN - Hishammuddin
Bekas Menteri Pertahanan itu menerusi WhatsApp kepada Astro AWANI berkata, sebarang cadangan perlu dibentangkan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi parti terlebih dahulu. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein enggan mengulas lanjut mengenai khabar angin yang menyatakan bahawa beliau bakal dilantik sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) yang baharu.

Bagaimanapun, bekas Menteri Pertahanan itu yang menjawab menerusi aplikasi WhatsApp kepada Astro AWANI berkata, sebarang cadangan perlu dibentangkan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi parti terlebih dahulu.
“Perlu dibentang dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN dahulu,” katanya ringkas, pada Isnin.

Ketika ditanya sama ada wujud sebarang perbincangan berhubung perkara itu, Hishammuddin menjawab, “Tunggu selepas Mesyuarat BN.”
Terdahulu, portal berita MalaysiaGazette yang memetik sumber melaporkan, tiga pemimpin BN iaitu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MIC, Tan Sri S. Vigneswaran; dan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong telah mengadakan perjumpaan pada 27 Ogos lalu.

Menerusi perjumpaan tersebut, sumber mendakwa ketiga-tiga pemimpin tertinggi parti komponen tersebut bersetuju dengan sedikit perubahan jawatan, dan mencadangkan Hishammuddin dilantik memegang jawatan Setiausaha Agung BN.

Menurut laporan tersebut lagi, sumber menambah Hishammuddin mampu menggalas tanggungjawab tersebut kerana beliau memiliki pengalaman luas dalam politik negara.

Ketika ini, jawatan Setiausaha Agung BN digalas oleh Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.


Tag: Zahid Hamidi, Tengku Adnan Tengku Mansor, Hishammuddin Hussein, UMNO, Barisan Nasional, MIC, Politik



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.