Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengakui bahawa terdapat pemimpin-pemimpin UMNO Sabah yang keluar parti menyatakan keinginan untuk menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).

Menurut Mohd Shafie, beliau mengalu-alukan penyertaan mereka untuk kepentingan rakyat di peringkat umbi serta kepentingan soal pembangunan di negeri ini.

Tambahnya, beliau tidak meletakkan sebarang syarat kepada mana-mana bekas pemimpin UMNO yang mahu menyertai parti ini dalam menjadikan Sabah sebagai sebuah negeri yang membangun.

“Bagi kita tidak menjadi masalah, kita boleh bincang dan kita tidak ada sekatan dalam dasar parti dan kita memang nyatakan dari awal lagi untuk memastikan ada penyatuannya.

“Tapi saya juga berharap, dalam kemasukan kerjasama ini tidak ada syarat yang kita letakkan kepada mana-mana pihak untuk kepentingan Sabah dan rakyat Sabah,” katanya dalam satu sidang media selepas Persidangan Khas Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-15, di sini.

BACA: 13 wakil rakyat UMNO Sabah, termasuk pengerusi negeri keluar parti

BACA: 'Saya sertai Bersatu kerana ...' - Mas Ermieyati

Tambah Mohd Shafie lagi, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan pada hari ini akan sentiasa bersedia membantu membangunkan kawasan-kawasan yang diwakili oleh mana-mana parti.

Katanya, ia bertepatan dengan dasar kerajaan negeri baharu untuk membantu rakyat tanpa mengira sama ada kawasan itu di bawah jagaan pembangkang ataupun Warisan.

“Kepentingan kita ialah untuk memastikan supaya penyatuan rakyat wujud di peringkat umbi dan sudah pasti pentingnya juga pembangunan di kawasan mereka wakili,” katanya.