Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini menolak kesemua kes saman yang dipohon daripada bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, tepat jam 4.10 petang tadi sekali gus mengekalkan status Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Yew Jen Kie memberikan keputusannya pada pukul 4.10 petang ini terhadap saman pemula yang dikemukakan oleh Musa bagi mencabar pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri yang baharu kerana mendakwa beliau adalah Ketua Menteri Sabah yang sah.

Musa turut diarahkan membayar kos guaman sejumlah RM15,000 kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan jumlah yang sama kepada Mohd Shafie.

BACA: Siapa Ketua Menteri Sabah yang sah? Shafie atau Musa

Jen Kie menegaskan bahawa Musa telah hilang keyakinan majoriti anggota Dewan apabila enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah daripada Barisan Nasional beralih memberi sokongan mereka kepada Mohd Shafie.

Beliau memutuskan bahawa Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin telah menggunakan kuasa beliau mengikut Perkara 6(3) Perlembagaan Negeri Sabah untuk melantik Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri baharu Sabah setelah mendapati Musa tidak lagi mendapat keyakinan majoriti ADUN.

“Sejajar dengan Perkara 7(1) Perlembagaan Negeri Sabah, Musa wajib berundur atau atau mengosongkan jawatan itu apabila beliau hilang penguasaan terhadap majoriti Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Berlandaskan sebab di atas, maka saya menolak saman pemula plaintif (Musa) untuk mencabar pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri, “ kata beliau serta memerintahkan Musa membayar kos berjumlah RM30,000 kepada Mohd Shafie dan Juhar.

Jen Kie membuat keputusan itu setelah mendengar penghujahan daripada peguam Tengku Fuad Tengku Ahmad dan S.Vanugopal yang mewakili Musa, Datuk Douglas Lind, yang mewakili Mohd Shafie dan Peguam Besar Negeri Datuk Zaleha Rose Pandin, yang mewakili Juhar pada 24 Okt.

Pada 17 Mei, Musa memfailkan writ saman terhadap Mohd Shafie, tetapi menariknya kembali. Bagaimanapun, pada Jun, beliau memfailkan saman pemula bagi mendapatkan perisytiharan mahkamah, bahawa, antara lain, beliau adalah Ketua Menteri Sabah yang sah seperti yang dilantik Yang Dipertua Negeri pada 10 Mei.