Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan beliau masih mempunyai pengaruh walaupun tidak bersama UMNO.

Beliau juga memberi bayangan ramai ahli UMNO di Sabah akan keluar parti kerana tidak berpuas hati.

Kata beliau, ramai ahli UMNO menghubunginya bagi menyatakan kesediaan untuk keluar parti.

“Daripada DUN Kemabong daripada DUN Melalap hampir lebih kurang 2000 ahl UMNO yang keluar daripada UMNO dan ini menampakan bahawa ketidaksenangan hati mereka bukan hanya pentadbiran UMNO di peringkat pusat begitu juga peringkat negeri dan saya yakin ini satu petanda yang boleh merubah negeri Sabah.

“Saya yakin dan sebenarnya ramai sudah berhubung dengan saya walaupun ramai kata saya tidak berpengaruh lagi tetapi rakyat ini sedar dan bila kita terangkan tentang apa yang berlaku dan apa yang perlu diubah untuk kebaikan bukan keburukan dan mereka nyatakan kesanggupan mereka keluar UMNO,” kata beliau.

Datuk Seri Mohd Shafie berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai senario keluar parti kalangan ahli UMNO di Negeri Di Bawah Bayu itu.

Beliau ditemui merasmikan majlis Irau Rakyat anjuran Pertubuhan Kadazan Dusun Murut (KDM) Malaysia di sini pada Sabtu.

Pada majlis itu, 2,000 ahli UMNO dari bahagian Tenom, mengumumkan keluar parti setelah tidak percaya dengan kepimpinan parti bangsa Melayu itu.

Majlis itu turut dihadiri Presiden Parti Cinta Sabah, Datuk Wilfred Bumburing, Presiden Pertubuhan KDM, Datuk Peter Anthony, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Malaysia, Darell Leiking dan beberapa lagi pimpinan pembangkang.

Majlis tersebut dihadiri lebih 10,000 orang ramai termasuk pertandingan ratu Irau rakyat KDM, sukaneka, pertandingan menyanyi dan banyak lagi.