Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yakin sokongan kaum Melayu terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) masih utuh, sekaligus tidak akan berlaku "Tsunami Melayu" dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Rompin dan Parlimen Permatang Pauh, minggu depan.

Beliau berkata hasil turun padang sepanjang kempen PRK Rompin, beliau mendapati masyarakat Melayu tetap memberi sokongan kepada UMNO dan BN walaupun masih ada beberapa isu yang perlu diatasi.

"Tiga hari saya di sini (Rompin), Insya-Allah, masyarakat Melayu termasuk di kampung masih lagi memberi sokongan kepada UMNO dan BN.

"Saya faham dan sedar terdapat beberapa rintihan dan permohonan daripada mereka yang masih tidak dapat ditunaikan, oleh itu kita akan terus membantu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan sara hidup peserta Projek Tanam Semula Felcra Berhad kawasan Anak Endau di Dewan Majlis Daerah Rompin di sini, Selasa.

Mohd Shafie mengulas tulisan bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin yang meramalkan kononnya akan berlaku perubahan undi Melayu terhadap BN dalam PRK Parlimen Rompin pada 5 Mei dan PRK Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang pada 7 Mei.

Pada Isnin, Zainuddin dalam blognya berkata keputusan pada kedua-dua PRK itu bakal menjadi kayu pengukur sama ada akan berlakunya 'Tsunami Melayu' pada pilihan raya umum ke-14 nanti.

Dalam pada itu, Mohd Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, pengundi Rompin harus bijak membuat pilihan apabila tiba hari penentu pada 5 Mei ini dengan melihat kemampuan mentadbir kerajaan oleh BN berbanding PAS.

"Mereka (pengundi) perlu tahu apa yang kerajaan BN sudah serta sedang lakukan dan jangan terpedaya dengan isu-isu yang dijadikan umpan oleh pembangkang untuk meraih undi termasuk soal saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP).

"Saya yakin pengurusan Felda sedang dan akan melakukan beberapa lagi langkah bagi memastikan masyarakat Felda terus terbela termasuk mendapat pulangan bagi pelaburan yang dilakukan oleh mereka," katanya.

Sementara itu, Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan tindakan pembangkang memburukkan kerajaan semasa berkempen pada kedua-dua PRK itu untuk menutup kelemahan pentadiran pakatan pembangkang di negeri-negeri dikuasai mereka.

"Mereka (pembangkang) ini hanya pandai cakap sahaja. Mereka sengaja memburukkan kerajaan supaya rakyat tidak fikir apa yang buruk tentang diri mereka.

"Sehubungan itu kita sebagai rakyat jangan mudah terpengaruh, lihat sahaja di Pulau Pinang, apabila mereka memerintah, macam-macam yang dinaikkan termasuklah tarif air. Tetapi di Pahang tarif air merupakan paling rendah di negara ini," katanya berucap merasmikan Program Road To Hari Peladang, Penternak Dan Nelayan 2015 peringkat negeri di sini.

Ismail Sabri berkata tarif rendah itu menunjukkan keprihatinan kerajaan BN terhadap kebajikan rakyat.