Sejurus selepas beberapa pakatan politik bersetuju menamakan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-8, rumah beliau di Bukit Damansara telah dikunjungi beberapa pemimpin utama parti politik.

Antara yang kelihatan hadir ialah Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan, serta Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Selain itu, ahli-ahli Parlimen dari Bersatu seperti Datuk Seri Rina Harun, Datuk Seri Mustapa Mohamed, dan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof turut hadir berjumpa dengan beliau.

BACA: Muhyiddin dahului Anwar sebagai PM-8

BACA: BN, Pas sokong Muhyiddin sebagai PM-8

BACA: Bersatu calonkan Muhyiddin Yassin sebagai PM Ke-8


Turut menarik perhatian media ialah kehadiran bekas ahli-ahli Parlimen PKR yang dikatakan sudah menyertai Bersatu seperti Datuk Saifuddin Abdullah dan Baru Bian.

Bagaimanapun media difahamkan tiada sebarang kenyataan media akan dikeluarkan oleh Presiden Bersatu itu malam ini.

Terdahulu beberapa pakatan parti politik bersetuju menamakan beliau sebagai calon Perdana Menteri bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad

Ia susulan kenyataan Istana Negara bahawa Yang di-Pertuan Agong menitahkan agar kesemua ketua parti politik yang mempunyai wakil di Dewan Rakyat, untuk menamakan calon pilihan mereka sebagai Perdana Menteri seterusnya.