Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini menafikan khabar angin yang mengatakan bahawa Tan Sri Annuar Musa akan kembali menyertai kabinet selepas rombakan dibuat tidak lama lagi.

“Bohong.. all lies (semua itu satu penipuan),” katanya ringkas kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen pada Rabu.

Beliau mengulas tentang khabar angin yang dimainkan beberapa laman blog sejak semalam yang antaranya mengatakan bahawa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan disingkirkan, manakala Annuar dan Tan Sri Shahrir Samad pula akan dilantik menjadi menteri.

Laman-laman blog tersebut membuat spekulasi berdasarkan penyertaan dua Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Zahid Hamidi bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Arab Saudi untuk menunaikan umrah.

“Lawatan rasmi Najib Razak ke Arab Saudi sambil menunaikan umrah bermula Sabtu lalu hingga semalam bersama dua Naib Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dan Hishammuddin Hussein, menimbulkan spekulasi yang makin meluas bahawa ia akan disusuli dengan rombakan kabinet selepas ini,” tulis kenyataan dalam salah satu laman blog tersebut di shahbudindotcom.blogspot.com.

Bagaimanapun Shahidan ketika ditanya sama ada beliau tidak bersetuju dengan spekulasi tersebut, katanya beliau bukan tidak bersetuju tetapi ianya bohong.

“Tidak, saya bukan tidak bersetuju… tetapi ianya bohong,” katanya lagi.

Hishammuddin dan Zahid telah menyertai Najib ke Arab Saudi dalam lawatan kerja selain menunaikan umrah.

Kedua mereka yang juga merupakan Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri telah berada di sana sejak minggu lalu manakala Najib pula dilaporkan tiba Sabtu lalu.

Antara urusan yang dikendalikan oleh Perdana Menteri termasuk urusan berhubung kuota jemaah haji Malaysia di mana Malaysia menyerahkan pertimbangan kuota tersebut kepada kerajaan Arab Saudi.