Veteran UMNO Tan Sri Shahrir Abdul Samad, 67, hari ini menyatakan hasrat untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum ke-14.

Anggota Parlimen Johor Bahru itu yang berpengalaman lebih 40 tahun dalam politik berkata beliau mahu memberi peluang kepada orang muda untuk menjadi pemimpin.

Katanya, beliau percaya anak muda boleh menjadi pemimpin jika mereka diberi peluang dan kepercayaan.
"Pandangan saya ialah anda harus memberi kepercayaan kepada anak muda, jika anda tidak dapat menunjukkan bagaimana anda menaruh kepercayaan kepada golongan muda, maka apa gunanya bercakap.

"Saya tidak boleh hanya percaya kepada anak lelaki atau anak perempuan saya. Saya rasa saya mempunyai rekod, setiausaha politik saya sekarang ialah MB Johor MB (Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) dan ada kemungkinan bagi saya untuk memberi laluan kepada satu lagi personaliti muda mengambil alih," katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Ketika ditanya sama ada beliau telah mengenal pasti mana-mana calon berpotensi untuk menjadi pemimpin termasuk menggantikan beliau, Shahrir berkata beliau mempunyai ramai calon.

Shahrir berkata beliau mungkin kekal dalam UMNO walaupun beliau tidak lagi aktif dalam politik.

Sementara itu, Shahrir berkata beliau yakin UMNO dapat "survive" dan memenangi pilihan raya umum akan datang walaupun berdepan dengan isu 1MDB dan dana RM2.6 bilion.

"Hari ini ada isu-isu ini, kita tidak tahu apa isu akan datang. Kita mempunyai dua tahun sebelum pilihan raya diadakan dan ia berbeza," katanya.

Shahrir berkata UMNO dan Barisan Nasional mempunyai rekod yang baik untuk menunaikan apa yang telah diikrar dan dijanjikan kepada rakyat semasa pilihan raya umum sebelumnya.

Mengenai pemuafakatan PAS dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysian (Ikatan) yang diumumkan hari ini, Shahrir berkata ia membuktikan kesanggupan parti itu bekerjasama dengan pihak ketiga termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

"Ia seperti konsep yang diamalkan oleh Barisan Nasional sendiri, lebih baik daripada model yang dibawa oleh Pakatan Harapan.

Beliau berkata secara keseluruhan ia memberi impak kepada kematangan politik negara yang dilihat sebagai sistem dua parti.

PAS hari ini mengumumkan penubuhan permuafakatan baharu bersama Ikatan menjadikan pakatan itu sebagai blok parti pembangkang ketiga bagi menghadapi pilihan raya Umum ke-14.