Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abd Jalil mengesahkan dirinya tidak akan bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Alasan diberikan beliau, Sungai Besar mempunyai ramai calon tempatan yang berpotensi untuk dipilih sebagai calon.

“Saya amat terharu dengan pelawaan yang dibuat tetapi saya sudah berbincang dengan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar (Datuk Seri Jamal Md Yunos) saya tidak akan turun ke Sungai Besar sebagai calon.

“Saya selaku Ketua Wanita perlu bertanggungjawab, selepas meneliti senario di sana, Sungai Besar mempunyai ramai calon tempatan jadi gunakan kesempatan itu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jentera Wanita dan Puteri Barisan Nasional (BN) Perak, di sini pada Sabtu.

Beliau juga berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada Jamal serta jawatankuasa bahagian terbabit.

“Saya telah berbincang panjang dengan beliau (Jamal) dan penghargaan diberikan tetapi saya tidak menerimanya dan saya juga telah memaklumkan (perkara itu) kepada Perdana Menteri.

“Tetapi apapun Sungai Besar tetap di hati saya, walau siapa calon yang mereka akan pilih nanti saya akan berikan sokongan penuh,” ujarnya.

Baru-baru ini, Jamal telah mengalu-alukan kehadiran Shahrizat untuk bertanding di parlimen berkenaan.

Katanya, perbincangan sudah pun dilakukan tetapi bukan secara rasmi di peringkat bahagian.