Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kerajaan kini masih goyah dan gerakan untuk mendapatkan lebih banyak sokongan sedang giat dilakukan.

Ahli Parlimen Port Dickson itu bagaimanapun berkata, beliau belum didatangi mana-mana pihak untuk memujuknya menyertai Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dengan nada sinis, Anwar juga berkata, beliau 'berkecil hati' kerana tiada pihak tampil untuk memujuknya menyertai Kabinet baharu yang bakal dibentuk pada bila-bila masa.

"Kerjanya pujuk satu demi satu. Saya sahaja belum kena pujuk. Saya kecil hati juga belum sesiapa cuba datang pujuk.

"Dia pujuk, ku lesing," katanya ketika berucap di Majlis Himpunan Tertinggi PRO98 Reformis Malaysia bersama Anwar Ibrahim dan Puteri Reformis di kediamannya di sini hari ini.

Anwar turut menyifatkan keadaan politik semasa yang berlaku merupakan usaha rompakan kuasa dari dalam PKR sendiri.

Beliau menyifatkan, ia bukanlah perancangan baharu dan usaha berkenaan juga turut meletakkan PKR berada dalam krisis sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Ramai yang kurang yakin pada masa itu. Sekarang terbukti yang kita serang ini antara lain kartel ini ialah orang yang khianat kepada amanah rakyat dalam pilihanraya umum (PRU)," katanya.

Bagaimanapun beliau yakin apa yang berlaku hanyalah bersifat sementara dan menggesa penyokong PKR untuk terus fokus kepada perjuangan.

"Ini simpang siur politik siapa menteri, siapa perdana menteri sementara. Ini mainan sandiwara, drama sementara.

"Kita ikut landasan perjuangan kita. Jangan kita terlalu gusar. Setengah orang kata 'habislah aku'. Kalau habis, balik tidur di rumah, jangan fikir soal perjuangan," katanya.

Sebelum ini, Anwar mengesahkan dakwaan bahawa beliau ditawarkan jawatan Perdana Menteri sebagai pertukaran untuk menerima UMNO sebelum berlakunya krisis politik yang menyaksikan berakhirnya pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Krisis politik bermula dengan 'Langkah Sheraton' itu menyaksikan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan kumpulannya meninggalkan PKR untuk menumbangkan PH serta menubuhkan kerajaan baharu bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Barisan Nasional dan Pas.

Polemik politik itu juga menyaksikan Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Bersatu keluar daripada PH.

Selepas seminggu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kerana mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.