Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang didakwa pernah melakukan pemindahan wang ke luar negara secara tidak sah melalui pengurup wang.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar berkata calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau itu sehingga kini tidak diambil sebarang tindakan, lapor Sinar Harian.

"Siapa kata Mohamad orang bersih? Sebab saya orang pertama bersama Datuk Kamarul Baharin Abbas dan Anthony Loke Siew Fook pada waktu itu telah buat laporan polis dan SPRM kerana beliau bawa duit keluar guna pengurup wang.

"Sampai sekarang tak ditangkap. Nanti saya akan jumpa SPRM persoalkan kenapa tak tangkap dia," katanya ketika berucap di Bilik Gerakan di Taman Kelab Tuanku Mambau di sini, malam tadi.

Dakwanya, walaupun telah tiga penggal Mohamad menjadi ADUN Rantau, DUN itu tetap sama tanpa perubahan meskipun berhampiran dengan bandar Seremban, Port Dickson dan Sepang, Selangor.

Zulkefly berkata sekiranya Mohamad menang dalam PRK berkenaan, ia hanya merugikan penduduk DUN Rantau.

"Beliau tak lagi boleh jadi menteri besar kerana di DUN Negeri Sembilan, PH ada 20 kerusi dan BN ada 16 kerusi.

"Tak boleh tukar apa-apa pun. Yang akan jadi masalah adalah penduduk Rantau kerana Rantau tidak akan berubah,"katanya.

Mohamad didakwa terbabit dalam skandal pemindahan RM10 juta melalui pengurup wang ke London pada 2008, namun telah beberapa kali dinafikannya.