Ahli Jawatankuasa Pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional, Dr Siti Mariah Mahmud dilantik sebagai Naib Presiden parti itu bagi penggal 2019-2022.

Selain Dr Siti Mariah, 27 AJK Pimpinan Amanah Nasional yang bermesyuarat pada Selasa turut melantik sekali lagi Datuk Husam Musa yang tidak bertanding pada pemilihan parti yang diadakan pada minggu lepas.

"Merujuk kepada mesyuarat yang diadakan pada hari Selasa 10 Disember 2019, jam 8 malam di Wisma Amanah, ahli mesyuarat Pimpinan Amanah Nasional yang telah bersidang selama 2 jam, sebulat suara memilihnya Naib Presiden lantikan dan penjawat utama bagi setiap portfolio jawatankuasa Amanah yang lain.

"Ahli Jawatankuasa Nasional ini akan mula bertugas berkuatkuasa 11 Disember 2019 sehingga konvensyen Amanah Nasional kali ke-6 yang dijangka akan diadakan pada penghujung tahun 2022 nanti," kata Pengarah Komunkasi Amanah Khalid Samad dalam satu kenyataan media.

Ahli Parlimen Lumut yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli pula dilantik sebagai Setiausaha Agung Amanah menggantikan Ahli Parlimen Temerloh, Anuar Tahir.

Ahli Parlimen Shah Alam yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dikekalkan sebagai Pengarah Komunikasi Amanah manakala ADUN Bukit Katil, Adly Zahari, yang juga Ketua Menteri Melaka dilantik sebagai bendahari.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad kekal memegang jawatan Pengarah Startegi Amanah, sementara jawatan Pengarah Pilihan Yaya yang sebelum ini disandang oleh Dr Hatta, 27 AJK Pimpinan Amanah Nasional bersetuju melantik Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi.

Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus yang sebelum ini memegang jawatan timbalan setiausaha agung dilinatik sebagai Setiausaha Organisasi menggantikan Suhaizan Kaiat yang dilantik sebagai pengarah pembangunan manusia Amanah bagi penggal 2019-2022.