Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyifatkan keputusan meninggalkan Barisan Nasional (BN) dan membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) merupakan langkah tepat.

Menurut Pengerusi GPS itu, ekoran keputusan berkenaan, hala tuju politik Sarawak kini digerakkan sendiri tanpa perlu ikut telunjuk sesiapa.

Abang Johari merujuk kepada keputusan menyokong Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Kata Abang Johari, keputusan untuk menyokong Muhyiddin dibuat tanpa ada campur tangan pihak lain dan berbeza seperti ketika bersama BN sebelum ini.

"Saya kenal Muhyiddin, dulu saya bersama Pemuda (BN), Anwar pun saya kenal. Kita pilih satu.

"Kerana kita juga entiti yang berbeza, sebab itu kini orang sedar kenapa kita tinggalkan Barisan (Nasional), jika kita dalam Barisan, Barisan akan jadi wakil kepada kita, tapi sekarang kita berdiri sendiri," jelas Abang Johari.

Menyentuh mengenai dakwaan tindakan GPS itu membuka pintu kepada kerjasama dengan UMNO dan PAS dalam pentadbiran kerajaan negeri, Abang Johari sifatkan itu hanya sekadar spekulasi.

"Saya akan putuskan jika mereka benar-benar akan datang. Bagaimana saya nak buat keputusan awal. Nanti mereka kata kenapa dengan Abang Jo ni? Bila masa kami nak datang?" jelasnya.

GPS dibentuk pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) susulan kekalahan BN yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) menguasai kerajaan Pusat.

GPS dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Gabungan empat parti ini bakal berdepan ujiian sulung bagi mendapat mandat rakyat dalam pilihan raya negeri yang akan diadakan selewat lewatnya tahun depan.