"Jangan sokong saya kerana saya orang Bajau, tetapi sokong saya kerana saya mahu membangunkan Sabah."

Demikianlah ungkapan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam usaha beliau membangunkan negeri Sabah serta membawa Sabah ke arah reformasi.

Tambah Mohd Shafie, beliau menyeru agar rakyat di negeri ini untuk bersatu tanpa mengira bangsa dan agama dalam membantu beliau membawa perubahan dalam pentadbiran negeri ini.

"Saya sedar dan tahu, bukan mudah untuk meletakkan kesedaran untuk rakyat Sabah bersatu, bukan atas landasan kaum mahupun bangsanya atau agamanya.

"Kalau kita gagal membangunkan Sabah, keluarga dan anak cucu kita mungkin akan merasai kesusahan pada masa hadapan. Justeru, saya menyeru agar rakyat negeri ini untuk bersama-sama saya menolong membangunkan negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Ketua Menteri bersama Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan di Dewan Komuniti, Kota Marudu, di sini, hari ini.

Dalam majlis ini, Mohd Shafie meminta agar pegawai di setiap daerah untuk menggariskan keperluan rakyat dan menyediakan pelan pembangunan untuk kawasan masing-masing.

Menurutnya, langkah ini adalah bagi memastikan kebajikan setiap masyarakat di daerah mereka dipelihara dan keperluan mereka direalisasikan.

"Setiap pegawai daerah kena 'set priority' untuk masyarakat setempat dan buat pelan pembangunan untuk membangunkan daerah masing-masing.

"Mereka (pegawai daerah) harus gerakkan usaha dan setiap minggu buatkan satu perjumpaan untuk meneliti masalah masyarakat setempat dan senaraikan masalah-masalah tersebut untuk diambil tindakan selanjutnya," katanya lagi.