Lembaga Disiplin UMNO digesa untuk membuat siasatan dan mengambil tindakan terhadap enam ahli Parlimen mereka yang membuat kenyataan sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad tanpa melalui saluran parti.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat berkata pencerahan juga diperlukan daripada pucuk pimpinan parti jika isu sokongan kepada Perdana Menteri itu telah dibincangkan atau direstu supaya tiada kemusykilan berlaku sesama sendiri.

“Ini bukan soal menyokong Dr Mahathir memenuhi penggalnya sebagai Perdana Menteri tetapi kerana tidak melalui protokol dan saluran parti seperti dipamerkan ahli-ahli Parlimen Pas yang diketuai ketua whipnya.

“UMNO mempunyai Ketua Whip, mempunyai Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang biasanya akan bermesyuarat untuk membuat keputusan sepertinya itu.

“Jika UMNO menyokong secara menyeluruh kepimpinan Dr Mahathir atau sebaliknya, maka umumkannya tanpa berbelah bahagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.

BACA: Enam MP Umno, 16 MP PAS sokong Tun Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri hingga akhir penggal

BACA: Isu peralihan kuasa: Kita boleh bercakap - Tun Mahathir

Pada Khamis, enam ahli Parlimen UMNO tampil memberi sokongan agar Dr Mahathir meneruskan mandat sebagai Perdana Menteri hingga pilihan raya umum (PRU) seterusnya.

Enam individu berkenaan adalah Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar), Datuk Dr Adham Baba (Tenggara), Datin Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Datuk Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib (Maran), dan Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut).

Dalam pada itu, Tengku Putra menegaskan tidak mahu parti dipecah dan diperintah orang luar atau dalang yang bermuslihat bersama orang luar demi kepentingan diri sendiri.

“Berilah isyarat yang jelas kepada akar umbi atau bercuti lagilah sampai akhirat supaya kepimpinan yang lebih bertanggungjawab boleh membuat keputusan yang lebih tepat demi kelangsungan UMNO.

“Jika Lembaga Disiplin UMNO tidak berfungsi secara bebas serta tulus dan sebaliknya hanya menunggu isyarat sahaja secara selektif, bubarkan ia sahaja supaya kita tahu bahawa UMNO ini sudah menjadi parti 'free for all',” katanya.

Keenam-enam ahli Parlimen UMNO berkenaan dilaporkan berkata Dr Mahathir perlu terus menjadi Perdana Menteri bagi memastikan kestabilan politik dan ekonomi negara terus menjadi keutamaan.

Sementara itu, sewaktu sesi perbahasan pada Khamis, Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan memberi jaminan kesemua ahli Parlimennya berjumlah 16 orang turut memberi sokongan kepada Dr Mahathir.

Takiyuddin yang juga Ketua Whip Pas berkata situasi terkini politik telah menimbulkan rasa kurang senang terhadap ramai pihak, terutamanya rakyat negara ini sendiri.