Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengedarkan kad pengundi sejak 19 April lalu kepada 39,349 pengundi yang layak menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan, Mei depan.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata inisiatif itu diteruskan selepas pelaksanaan kali pertama pada PRK Rantau lalu.

"SPR menegaskan bahawa pengundi masih perlu membawa kad pengenalan bagi pengesahan identiti untuk mengundi dan diingatkan supaya membawa 'voter's card' atau catatan maklumat daftar pemilih pada hari mengundi bagi memudahkan semakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, pengundi yang telah menerima kad pengundi tidak lagi perlu membuat semakan di Barung SPR untuk menyemak saluran dan nombor bilangan pengundi dalam daftar pemilih kerana kedua-dua maklumat berkaitan telah dinyatakan dalam kad tersebut.

Bagaimanapun, pengundi yang tidak menerima kad tersebut boleh memnbuat semakan maklumat pengundian melalui portal SPR www.spr.gov.my atau aplikasi MySPR Semak selain melalui khidmat pesanan ringkas.


Kerusi Parlimen Sandakan kosong selepas kematian penyandangnya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.

Pada PRU14, Tien Fatt memperoleh 10,098 majoriti selepas menewaskan Datuk Lim Ming Hoo daripada Parti Liberal Demokratik (LDP).