Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencadangkan Tian Chua mengemukakan petisyen bantahan di mahkamah susulan pencalonannya yang ditolak suruhanjaya itu semasa penamaan calon bagi Parlimen Batu hari ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, ia berikutan perkara itu melibatkan bidang kuasa mahkamah untuk membuat keputusan.

"Ini adalah keputusan yang ada kaitan dengan mahkamah. Kalau saya maklumkan begini, keputusan yang dibuat semasa pencalonan ini, dibuat oleh Pegawai Pengurus (RO) maka sesiapa calon rasa dia perlu bantah, dia boleh buat bantah dan kemukakan dalam mahkamah nanti.

"Kalau kita nak bersoal jawab pun, kita duduk di sini. Yang berlakunya di tempat mereka. Saya harap apabila dibuat di mahkamah, mahkamah akan buat keputusannya nanti," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPR di sini hari ini.

BACA: SPR tolak pencalonan Tian Chua di Parlimen Batu

Ditanya kedudukan pencalonan Tian Chua ketika ini, ini jawapan beliau:

"Kita tidak tahu keputusan dibuat. Kita jangan kata dia tidak boleh bertanding. Kita tidak tahu apa keputusan mahkamah nanti. Kalau tidak sempat pun ada macam-macam cara dalam pilihan raya ini," tambahnya.

Tempoh petisyen itu akan ditentukan mahkamah dan SPR akan akur dengan keputusan yang dibuat.

"SPR akur dengan keputusan yang akan dibuat mahkamah. Kena tengok dari segi peraturan dikenakan kepada Tian Chua," ujarnya lagi.

"Itu alasan yang dibuat RO. Berapa denda dikenakan, mungkin tahap itu yang menyebabkan dia hilang kelayakan untuk bertanding. Sebab itu kalau tidak puashati bawa ke mahkamah semula, kemuka petisyen dan kita akan akur apa mahkamah putuskan nanti," kata beliau lagi.

Dalam pada itu, Mohd Hashim enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan Tian Chua yang mengaitkan taktik politik BN untuk menang di Batu menyebabkan pencalonan beliau ditolak.

"Saya tidak boleh komen berdasarkan kepada politik sebab saya SPR. Saya tidak boleh komen begitu," ujarnya.

Penamaan Tian Chua untuk kerusi Parlimen Batu ditolak SPR berikutan kes Mahkamah Tinggi Shah Alam melibatkan denda RM2000 pada tahun 2013 atas kesalahan menghina polis.

Tian Chua sebelum ini memenangi kerusi Parlimen Batu pada dua pilihanraya sebelum ini menewaskan calon Barisan Nasional (BN).