Wira Parti Warisan Sabah meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa berhubung kes salah guna kuasa dan penyelewengan dana rakyat.

Naib Ketuanya, Mohd Ismail Ayob berkata pihaknya membuat laporan SPRM hari ini susulan timbul dakwaan bahawa Yamani melakukan kerosakan hutan dara menerusi projek janakuasa geoterma di Tawau.

Beliau turut meminta SPRM menyiasat anak bekas ketua menteri Sabah itu yang didakwa menyeleweng dana berjumlah RM35 juta untuk menjalankan projek tersebut pada 2013.

"Kami Wira Warisan Sabah meminta SPRM membuka kertas siasatan dan seterusnya menyiasat penyelewengan kuasa dan dana rakyat yang dilakukannya dalam projek geoterma itu.

"Projek ini telah gagal dan terbengkalai seterusnya dibatalkan pada tahun 2017. Justeru, kami mohon SPRM untuk menyiasat ke manakah dana ini lesap," katanya ketika ditemui Astro AWANI di Pejabat SPRM, di sini, pada Jumaat.

Terdahulu, dalam satu kenyataan, Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin, menyatakan bahawa Yamani merupakan individu yang harus bertanggungjawab di atas kerosakan yang dilakukan ke kawasan rizab hutan dara yang besar di Tawau.

Kenyataan tersebut juga menyatakan Yamani berada di belakang projek janakuasa geoterma Tawau Green Energy yang kontroversial pada 2013 kerana beliau merupakan pemegang saham majoriti.