Tutup

Streram berjiwa kemanusiaan - Anwar

Streram berjiwa kemanusiaan - Anwar
Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa pemilihan Dr Streram sebagai calon PH pada PRK DUN Rantau adalah kerana pakar bius itu berjiwa kemanusiaan. - Foto fail
SEREMBAN: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa pemilihan Dr S. Streram sebagai calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau adalah kerana pakar bius itu berjiwa kemanusiaan.

Anwar berkata Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau itu pernah menyertai program 'Doctor Without Border' sebagai sukarelawan di Afghanistan dan Sudan pada 2010 serta 2011 dengan membantu orang Islam yang tercedera.
"Beliau beragama Hindu, tetapi menjadi sukarelawan membantu manusia dengan mengetepikan sentimen agama dan kaum. Sebab itu saya pilih beliau.

"Streram layak dipilih sebagai calon berikutan beliau terlibat dalam pelbagai misi kemanusiaan membantu masyarakat dunia tanpa mengira kaum dan agama," katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PRK DUN Rantau di Dewan Orang Ramai Taman Angsamas, dekat sini, pada Ahadi.
Turut hadir Penasihat DAP Lim Kit Siang; Setiausaha Agung DAP Lim Guang Eng; Naib Presiden PKR Tian Chua; Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan Tan Sri Dr Rais Yatim; Pengerusi PH negeri yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Pengarah Komunikasi Amanah Datuk Khalid Samad dan Dr Streram.

Anwar yang juga Anggota Parlimen Port Dickson, berkata pemilihan Dr Streram sebagai calon PRK DUN Rantau kerana beliau dinafikan hak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, sehingga beliau mengheret kes itu ke mahkamah dan memenanginya.

Sementara itu, Dr Streram ketika berucap pada majlis itu berterima kasih kepada Anwar yang memberinya peluang untuk bertanding di kawasan berkenaan.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pimpinan PH kerana bersetuju dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi peluang ini kepada saya. Saya seorang doktor dan sudah tentu saya akan berkhidmat untuk masyarakat. Saya tidak akan lari daripada apa-apa masalah masyarakat.

"Saya telah berkhidmat di DUN Rantau selama tiga setengah tahun dan saya pergi dari rumah ke rumah untuk menyelesaikan beberapa masalah di sana. Walaupun saya dinafikan bertanding pada PRU14, saya terus bekerja untuk penduduk di DUN Rantau tanpa mengira bangsa dan agama. Oleh itu, berilah saya peluang menjadi wakil PH di DUN Negeri Sembilan," katanya.

-- BERNAMA





Tag: Parti Keadilan Rakyat, Presiden PKR Anwar Ibrahim, Anwar Ibrahim, pemilihan Dr S Streram, Dr S Streram berjiwa kemanusiaan, calon Pakatan Harapan, PRK DUN Rantau, pilihan raya kecil



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.