Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan Presiden Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam mencari modal lain jika mahu menyerang dirinya.

Semalam, tular dalam media sosial status dimuat naik Lokman mendakwa Anwar sedang disiasat pihak berkuasa Singapura kerana terlibat dalam kes liwat di negara tersebut.

Menurut Anwar, sudah 20 tahun beliau melalui perkara sedemikian dan enggan memikirkan tuduhan dibuat Ahli Majlis Tertinggi Umno itu.

“Dah 20 tahun saya lalui ini, sudah-sudahlah. Lokman, saya bagi nasihat, sudahlah, carilah modal lain,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama PH, di sini, hari ini.

Tambah Anwar, beliau enggan memikirkan tuduhan sedemikian sebaliknya memberi tumpuan sepenuhnya untuk memenangi kerusi Parlimen Port Dickson.

“Saya malas nak fikir. Sumber (Media Corp Singapura) itu dah nafi. Kalau orang itu ada adab ada akhlak, kalaumsumber dah nafi, dia (merujuk Lokman) minta maaflah.

“Dah berapa kali maaf dah macam P Ramlee kata, maafkan kami, berapa kali dah. Maaf dia buat lagi, maaf dia buat lagi,” ujarnya.

Ketika ditanya adakah beliau bercadang untuk ambil tindakan, Anwar sekali lagi menegaskan akan memberi tumpuan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

“Saya nak tumpu di sini dulu, yang lain tu biarlah,” tegasnya.