Sultan mahu bukti ada sekurang-kurangnya 30 kerusi, bentuk kerajaan - UMNO Perak

Abd Razak Mohd Ali
Februari 29, 2020 06:55 MYT
Saarani (tiga kiri) ditemui semasa majlis resepsi pernikahan anaknya di Lenggong pada Sabtu. - Astro AWANI
Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah menitahkan, hanya gabungan parti yang dapat membuktikan ia mempunyai majoriti sekurang-kurangnya 30 kerusi, boleh membentuk kerajaan di negeri ini.
Demikian dimaklumkan Pengerusi Perhubungan UMNO Perak Datuk Saarani Mohamad yang berkata, perkara itu telah dititahkan ketika beliau mengadap baginda di Kuala Lumpur pada Khamis.
Menurutnya, dalam pertemuan itu, beliau hanya menyampaikan pandangan dan pendapat daripada blok pembangkang, tanpa memberi sebarang bentuk tekanan.
"Kita tunggulah. Sebab, saya yakin baginda Sultan Perak akan gunakan lunas undang-undang yang betul untuk melihat siapa yang ada kerusi mencukupi untuk bentuk kerajaan.
"Mudah sahaja di Perak ini, mana-mana gabungan yang boleh buktikan kita ada sekurang-kurangnya 30 kerusi kepada baginda Sultan, maka sudah tentu Sultan akan panggil dan beri kepercayaan kepada gabungan itu.
"Setakat ini, di pihak Muafakat Nasional, kita ada 28 kerusi," kata Saarani kepada media ketika ditemui pada majlis resepsi pernikahan anaknya di sini, hari ini.
Menurutnya, pihaknya tidak terburu-buru dan akan sabar menunggu perkembangan yang berlaku di peringkat persekutuan dan akan akur apa yang diputuskan nanti.
Katanya, yang penting, mereka mahu sebuah kerajaan yang sah dan majoritinya tidak boleh dipertikaikan, lebih-lebih lagi bagi menghadapi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadual 14 April ini.
Mengulas dakwaan wujud usaha menarik sokongan dalam kalangan wakil rakyat Pakatan Harapan, Saarani berkata, pihaknya tidak pernah memberi apa-apa tawaran atau mengadakan rundingan bagi tujuan itu.
Pada Rabu, Ahli DUN (ADUN) Hulu Kinta dari PKR, Muhamad Arafat Varisai Mahamad mendakwa telah dihubungi seorang pemimpin Barisan Nasional (BN) yang merupakan seorang bekas Exco Kerajaan Perak untuk menyertai parti itu dan menyokong pembentukan sebuah kerajaan negeri baharu.
#ADUN #Barisan Nasional #gabungan parti #kerajaan #kerajaan negeri #Malaysia2020 #Pakatan Harapan #pembangkang #Perak #Saarani Mohamad #sokongan majoriti #Sultan Perak #UMNO #undang-undang