Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini secara sinis mengucapkan tahniah kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana berjaya 'merampas' perjuangan pembangkang.

Beliau yang juga Menteri Besar Johor berkata pakatan pembangkang yang dahulunya memperjuangkan nasib Datuk Seri Anwar Ibrahim kini membuat pusingan U apabila berjuang mengangkat Dr Mahathir.

“Tahniah Tun Mahathir kerana dapat ‘hijack’ perjuangan pembangkang untuk dirinya.

“Kalau dulu tak sokong UMNO, balik-balik tengok UMNO juga. Tun Mahathir tak boleh lari bahawa dia dulu UMNO,” kata Mohamed Khaled.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Pelancaran Rasmi Kedai Imcoop Fair di Desa Mutiara di sini.

Jelasnya, ketika diminta mengulas pelantikan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH) yang diputuskan pada Konvensyen PH.

PH semalam menyatakan kesediaan memilih Dr Mahathir dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, masing masing sebagai calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, jika pembangkang menang pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah yang membuat pengumuman itu turut berkata kerajaan pimpinan PH akan berusaha untuk memohon pengampunan diraja untuk ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.