Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, cadangan melantiknya sebagai ahli parlimen sebagai proses awal untuk menjadi Perdana Menteri tidak perlu disegerakan.

Sebaliknya, tegas beliau, apa yang penting ketika ini, semua pihak memberi sokongan padu kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tanpa sebarang gangguan.

Beliau bagaimanapun menghargai pelawaan mana-mana ahli parlimen yang ingin menawarkan kerusi wakil rakyat disandang bagi memberi laluan kepadanya.

“Sekarang belum (perlu dilantik sebagai ahli parlimen). Kalau ada yang mempelawa, saya hargai tetapi kalau teliti proses berlaku, ia harus bermula dengan penyertaan saya di parlimen. Saya tidak fikir dangkal untuk meletakkan saya mengambil alih,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden PKR yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Tegas beliau, PKR juga perlu memberi tumpuan kepada pemilihan parti yang akan bulan depan.

Jelasnya, usaha meletakkannya sebagai ahli parlimen bukan bermaksud perlu mendoakan kematian mana-mana wakil rakyat.

“Jangan mendoakan orang mati cepat. Kalau peralihan berlaku selepas lima tahun umpamanya dan tiada kematian (ahli parlimen) maka peralihan berlaku dalam lima tahun.

“Sukar mengerti fahaman bahawa peralihan ini, ia satu perkara biasa kerana keputusan itu dibuat semasa saya di penjara lagi. Tak perlu segera, yang segera ialah proses pemilihan parti. Reform parlimen adalah agenda besar,” ujarnya.