Pas hari ini menegaskan tiada kerjasama politik yang akan dijalin dengan UMNO sekalipun pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali berkata ketetapan itu seiring keputusan Majlis Syura Ulama Pas sebelum ini bahawa tiada kerjasama melibatkan aspek politik dengan UMNO.

"Hingga pilihan raya akan datang, takkan ada kerjasama politik dengan UMNO," katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat mengenai perkara itu di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad di Taman Melewar, di sini.

Majlis taklimat itu turut dihadiri Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Mursyidul Am Pas Datuk Dr Haron Din dan pimpinan tertinggi PAS lain.

Abdul Hadi yang meninggalkan majlis berkenaan pada pukul 12.15 tengah hari bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya mengenai sambutan peserta yang terdiri daripada kira-kira 200 pimpinan PAS pusat dan negeri.

Isu kerjasama antara Pas dan UMNO kembali diperkatakan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyentuh hal itu dalam ucapan dasar presiden di Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

Najib menghulurkan ‘tali silaturahim’ kepada Pas untuk bersama-sama membina dan membangunkan negara mengikut syariat Islam sebenar.

Najib sekali lagi menyatakan hasratnya itu di hadapan Abdul Hadi ketika kedua-duanya berkongsi pentas di Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar hujung bulan lalu.

Mustafa bagaimanapun berkata Pas tidak menolak kerjasama dengan UMNO dalam sektor selain politik termasuk dalam membantu meningkatkan kepentingan rakyat di bidang pendidikan dan ekonomi.

"Keputusan Majlis Syura Ulama itu kita dah terangkan kepada ahli, semua faham....sekarang ini kita akan turun dan jelaskan ke peringkat akar umbi," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Pas akan bertanding lebih daripada 10 kerusi pada pilihan raya negeri Sarawak yang dijangkakan dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Setiausaha agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan tiada kompromi dari segi kerjasama strategik dengan mana-mana pihak dan apa jua strategi yang akan dilakukan mestilah berasaskan dasar parti.

"Kalau dulu kita bersama Pakatan Rakyat kita ingat bahawa dasar kita tidak akan terjejas, tapi bila dah terjejas kita tak boleh buat apa lah," katanya.

Dalam pada itu anggota jawatankuasa Pas Pusat Dr Mohd Zuhdi Marzuki menempelak keputusan Pakatan Harapan untuk tidak lagi menerima dasar 'bersetuju untuk tidak bersetuju' kerana ia sesuatu yang mustahil dilakukan.

"Setiap manusia ada perbezaan pandangan masing-masing dan konsep Pakatan Harapan untuk 'unity in everything' (sepakat dalam setiap perkara) adalah sangat mustahil," katanya.