"Saya bukan pemimpin politik baharu yang asyik melatah dengan mengeluarkan kenyataan kontroversi dan berunsur rasis."

Demikian tegas Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang berkata beliau sentiasa menyedari kesan dan akibat dari setiap patah perkataan yang diucapkannya.

"Sebagai peguam dan bekas menteri saya tahu apa yang saya katakan iaitu tidak boleh menampakkan rasisme, bercakap hanya mengenai fakta. Takkanlah saya hendak cakap isu rasis sedangkan saya tahu ada kamera video di hadapan," kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu.

Sebelum ini, segelintir pihak menuduhnya menyampaikan ceramah berunsur hasutan semasa berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih.

Dalam ucapannya, beliau turut dilaporkan membangkitkan rasa tidak puas hati rakyat di peringkat akar umbi mengenai cara peguam negara menguruskan isu membabitkan kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang dipukul dalam rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya.

Mohamed Nazri juga mengkritik peranan MCA dalam membantu calon BN DUN Semenyih. Baginya, beliau tidak nampak kelibat pemimpin MCA mengenakan baju BN sewaktu minggu berkempen.

Beliau turut menafikan tuduhan pihak tertentu yang mendakwanya menutup sekolah vernakular kerana hak mengamalkan budaya, bahasa setiap kaum terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Saya sendiri dianggap sebagai Melayu liberal sebelum ini. Mana mungkin saya bersikap perkauman.

"Malah, perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengajar kami bahawa pentadbiran negara tidak boleh diperintah satu kaum sahaja.

"Apa yang saya cuma katakan dalam ucapan sebelum ini adalah segala perkara dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dipertahankan."

Bagaimanapun, tegasnya, semua pihak harus menghormati keistimewaan orang Melayu dan kaum bukan Melayu.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan hendak tutup sekolah vernakular. Ia cubaan memberikan cerita tidak benar kerana saya mempunyai rekod mempertahankan hak minoriti termasuk sekolah vernakular. Dalam ucapan, saya nyatakan semua rakyat Malaysia mempunyai hak istimewa.

BACA: Kebiadapan Nazri Aziz antara punca kejatuhan BN - MCA

"Bumiputera sudah tentu mempunyai sekolah kebangsaan, Islam sebagai agama persekutuan, institusi tanah rizab Melayu, kuota perkhidmatan awam dan pembahagian ekonomi dalam negara. Jadi jangan fikir Bumiputera sahaja mempunyai hak.

"Bukan Bumiputera juga ada hak mereka iaitu hak kewarganegaraan mereka tidak boleh dipertikaikan, tidak ada sesiapa boleh arah mereka kembali ke tempat asal, kita juga berjanji beri perlindungan dari sudut budaya, bahasa dan mempertahankan institusi pendidikan," jelasnya.

Katanya, ia cubaan dan helah untuk mengalihkan pandangan rakyat serta memburukkan BN semasa kempen PRK Semenyih.

Mohamed Nazri juga mengakui sudah dipanggil polis pada Isnin untuk memberikan keterangan dan penjelasan berhubung ucapannya itu.