Dalam tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, hanya berbaki beberapa jam sahaja lagi bagi calon-calon yang bertanding, khususnya dari Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) terus menggiatkan usaha mereka bagi bertemu seramai mungkin pengundi.

Bagi calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dan calon PH Karmaine Sardini, pergerakan saat-saat akhir mereka sudah pasti lancar dengan penyusunan jentera pilihan raya masing-masing.

Selain itu, beberapa pemimpin kanan dari kedua-dua parti terbesar itu turut hadir menghadiri program-program ceramah yang disusun di sekitar 27 pusat daerah mengundi di N55 Pekan Nanas dan N56 Kukup.

Di sebelah Pakatan Harapan, mereka menganjurkan Ceramah Malam Penentuan bermula pukul 8 malam, dan dihadiri pemimpin kanan seperti Penasihat DAP Lim Kit Siang, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi DAP Johor Liew Ching Tong, Ketua Pemuda PH Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, serta Karmaine sendiri, bertempat di Pusat Perdagangan Pontian.

Selain itu, Karmaine akan terus melawat beberapa PDM, terutamanya di kawasan yang dirasakan masih kelabu atau hitam di sekitar Kukup dan Pekan Nanas.

Calon PH Karmaine Sardini (kanan) mendengar keluhan penduduk setempat ketika bersarapan di Jeti Kukup. - Foto BERNAMA

Bagi Wee, jentera beliau turut dibantu nama-nama besar pemimpin BN seperti bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan memberi ceramah di PDM Penerok dan Bilik Gerakan DUN Pekan Nanas, antara pukul 8 hingga 10 malam.

Selain itu, Presiden MCA Datuk Dr Wee Ka Siong turut menghadiri ceramah kelompok anjuran partinya di Rumah Berhala San Gee, dan Pasar Pekan Nanas, iaitu kawasan yang majoriti penduduknya berbangsa Cina.

Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN).

Selain jentera BN, Pas juga tidak ketinggalan menghantar penceramah penceramah mereka di PDM yang majoritinya berbangsa Melayu, beragama Islam dalam usaha memastikan undi mereka bersama BN.

Bagi calon Parti Gerakan Rakyat Malaysia Wendy Subramaniam, hanya satu kenyataan media yang dikeluarkan pada hari terakhir tempoh berkempen ini, dengan mengharapkan masyarakat Tanjung Piai dapat memberi peluang kepada mereka sebagai kuasa ketiga di Dewan Rakyat.

Calon Gerakan, Wendy Subramaniam.

Sementara itu calon Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, malam terakhir kempen diisi dengan Majlis Malam Munajat Berjasa bertempat di Pekan Serkat, Kukup.

Calon Berjasa, Dr Badhrulhisham Abdul Aziz.

Manakala bagi calon Bebas Faridah Aryani Abdul Ghaffar, beliau dan pasukannya terus menjelajah dan memberi ceramah di beberapa PDM seperti Kg Ulu Pulai, serta Pontian Kechil.

Seorang lagi calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock bagaimanapun terus menyepi sejak minggu pertama tempoh berkempen lagi yang bermula pada 2 November lepas.

Calon Bebas, Ang Chuan Lock.

Sementara itu, Jabatan Metereologi Malaysia melaporkan cuaca sewaktu hari mengundi adalah mendung di sebelah pagi, dengan suhu antara 23 hingga 27 darjah celcius, manakala sebelah petangnya pula dijangka hujan dengan suhu antara 25 hingga 28 darjah celcius.

Sekiranya tiada aral melintang, keputusan rasmi PRK ini lazimnya dapat diketahui antara pukul 8 hingga pukul 9 malam.

PRK Parlimen Tanjung Piai pada 16 Nov ini menyaksikan pertandingan enam penjuru, melibatkan calon PH, BN, Gerakan, Berjasa dan dua orang calon Bebas.