Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai akan menjadi platform ke arah demokrasi yang baik selain politik pembangunan di negara ini.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid menjelaskan, rentak itu mula dirasai sejak tiga PRK terakhir sebelum ini iaitu Cameron Highlands, Rantau dan Semenyih.

"Kita melihat bagaimana dinamika politik Malaysia menjurus ke arah ekstrem, tekanan lebih terutamanya dalam konteks nasional.

"Kita melihat di sebelah pihak bagaimana penekanan kepada etnik tertentu terutama dalam konteks penyatuan ummah oleh BN (Barisan Nasional) dan Pas memberi gambaran tentang berlakunya polarisasi jelas dalam politik di Malaysia.

"Tetapi saya lihat dengan apa yang dilakukan oleh BN dengan meletakkan Wee Jack Seng sebagai calon di Tanjung Piai menunjukkan bahawa penyatuan ummah itu juga memberi ruang kepada Muafakat Nasional yang meletakkan juga kepentingan kaum-kaum lain dalam bercakap tentang arus dinamik politik negara," katanya semasa dihubungi di sini, pada Jumaat.

Ketika mengulas mengenai sentimen, Dr Hamidin menjelaskan pengundi melihat sisten penyampaian dasar kerajaan dan bagaimana kerajaan di peringkat negeri mahupun pusat mampu mengubah, serta memajukan lagi kehidupan masyarakat.

Sementara itu, penganalisis politik, Mujibu Abd Muis menjelaskan, undi daripada mereka yang di atas pagar mungkin mempengaruhi keputusan PRK Tanjung Piai.

"Keputusan atas pagar ini tidak bermakna pengundi di sini tidak begitu penting, mereka ada pilihan tersendiri esok tetapi kena ingat bahawa sentimen PRU ke-14 dan PRK ini sangat berbeza, kalau kita tahu, sentimen ini kuat di regim BN, tetapi pada kali ini game changer, kalau berbeza maknanya kena tunggu esok," jelasnya.

Mujibu turut menyifatkan kehangatan kempen bermula sejak hari pertama lagi dan strategi sentuhan peribadi calon memainkan faktor penting untuk memancing undi.