Manifesto Barisan Nasional Temerloh menggariskan 16 initiatif yang bertujuan merancakkan pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat menerusi empat kluster utama.

Kluster-kluster tersebut adalah ekonomi, gaya hidup, pendidikan dan perumahan.

Pengerusi BN Temerloh Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin yang merupakan calon Parlimen Temerloh dan Adun Lanchang berkata manifesto tersebut adalah hasil kaji selidik keperluan dan kemahuan penduduk di Temerloh yang telah dijalankan BN sendiri.

"Antara inisiatif yang bakal dilaksanakan adalah pembinaan jambatan kedua Temerloh dengan peruntukan RM180 juta yang telah diluluskan Kerajaan Persekutuan.

”Projek tersebut turut melibatkan pembinaan baru Masjid Kampung Tebal dan penempatan semula peniaga gerai Majlis Pembadaran Temerloh Bukit Angin.

Projek mega ECRL turut memberi manafaat apabila Mentakab dipilih sebagai lokasi stesen utama penumpang dan kargo yang dijangka siap menjelang 2024,” jelasnya.

Mohd Sharkar menambah BN akan turut melaksanakan Pelan Pembangunan Ekopelancongan Kebangsaan 2016-2025 yang melibatkan Lanchang, Temerloh, Jerantut dan Taman Negara.

BN Temerloh lancarkan manifesto hasil kaji selidik keperluan dan kemahuan penduduk tempatan. - Astro AWANI/Nuradilla Noorazam

Pada masa sama, status Temerloh sebagai titik tengah Semenanjung akan dijadikan sebagai tarikan pelancongan dengan pembinaan sebuah tugu dan usaha mempromosikan daerah itu menjadi sebuah tarikan pelancong bertaraf antarabangsa.

Kluster Ekonomi akan turut menyaksikan perkembangan industri perikanan untuk menjadikan Temerloh sebagai hab Ikan air tawar. Bagi mengurangkan kesesakan, sebuah lebuh raya akan dibina untuk menghubungkan Mentakab ke Temerloh, sebuah Pusat Transformasi Urban (UTC) mini akan turut dibina dan Pekan Sehari Temerloh akan diberikan penjenamaan semula dan pengiktirafan.

Bagi menyelesaikan masalah bekalan air di Temerloh, sebuah loji rawatan air moden bernilai RM100 juta akan dibina bagi menampung keperluan 600 pengguna.

Bagi kluster gaya hidup, sebuah kompleks sukan akan dibina di Hulu Tualang, Mentakab Walk akan dibina di Jalan Mok Hee Kiang, pusat dialisis akan ditambah dan daerah Temerloh akan dijadikan bandar aktiviti pasar karat.

Bagi sektor pendidikan, Mohd Sharkar berkata institusi tahfiz dan madrasah akan diperkasakan.

"Kami akan membina sebuah Institut Pendidikan Tinggi Swasta atau Awam yang boleh memuatkan 5,000 hingga 6,000 pelajar.

"Bagi membantu golongan muda memiliki rumah, kami telah membina 500 unit projek perumahan rakyat dengan tiga bilik dan dua bilik air untuk keselesaan pengguna. Kami akan bina 1,000 lagi dalam masa terdekat.

"Selain itu, ada lebih 6,000 penduduk masyarakat India di Temerloh. Kerana kebanyakan generasi muda mahu keluar dari kawasan estet dan pertanian, kami akan menyediakan Perumahan mampu milik Belia India,” katanya kepada pemberita di Banggunan UMNO Temerloh, Mentakab.

Mohd Sharkar yang juga Ketua UMNO Bahagian Temerloh bakal bertanding di Parlimen Temerloh dalam pertembungan lima penjuru dalam percubaan BN memenangi semula kerusi yang disandang Pas. Pada masa yang sama beliau akan mempertahankan kerusi DUN Lanchang yang didudukinya selama empat penggal.

Beliau merupakan satu-satunya calon yang bakal bertanding di kerusi Parlimen dan DUN.

Anuar Tahir bertemu masyarakat setempat dalam suasana mesra sempena kempen politik PRU14 di Temerloh. - Nuradilla Noorazam

Isu pembalakan

Sementara itu, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari Parti Amanah Negara (Amanah), Anuar Tahir berkata penekanan status Temerloh sebagai titik tengah semenanjung adalah usaha yang baik.

Beliau yang ditemui sewaktu berkempen di Temerloh berkata, PKR turut membariskan isu pembalakan sebagai salah satu fokus dalam manifestonya yang dilancarkan pada 27 April lalu.

“Ada pelbagai tarikan menarik di Temerloh ini. Sejarahnya begitu kaya sekali. Di sinilah tempatnya lahir pejuang-pejuang bangsa dan pemimpin seperti Datuk Bahaman. Tarikan ini harus diketengahkan lagi,” katanya.

Manifesto Pakatan Harapan menawarkan 10 Dasar Tumpuan termasuk Skim Tabung Makmur, Skim Mikrokredit Makmur dan penubuhan Perbadanan Kemajuan Eko-Aset Pahang.

Sementara itu, seorang penduduk tempatan, Mohd Nasab Yusuf, 44, berkata beliau mengalu-alukan pengumuman rumah mampu milik yang bakal dibina untuk anak muda. Bagaimanapun, beliau menggesa wakil rakyat dari setiap parti untuk melaksanakan janji-janji mereka apabila mereja dipilih nanti.

“Manifesto ini janji. Yang paling panting adalah usaha melaksanakannya. Apalah guna janji-janji yang bagus jika tidak dilaksanakan,” katanya.

Sazila Busu yang sudah menetap di Temerloh selama 50 tahun pula berharap agar perancangan untuk memajukan Temerloh menerusi inisiatif pelancongan dapat dilaksanakan tidak kira siapa pun yang akhirnya dipilih penduduk negeri tersebut.

“Memasarkan ikan patin sebagai salah satu produk tempatan Temerloh adalah langkah yang baik kerana ia adalah kebangaan penduduk di sini,” katanya.