Tempoh untuk berbincang dengan Pas bagi mengadakan kerjasama dengan Pakatan Harapan sudah berakhir, kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malaysiakini melaporkan Dr Mahathir berkata demikian pada majlis dialog anjuran Parti Amanah Negara (Amanah) Titiwangsa dan Seputeh di Ampang malam tadi.

"Kita telah buat keputusan, masanya sudah tiba dan kita akan putuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU (PPBM) tak lama lagi," kata Mahathir seperti dipetik Malaysiakini.

Dr Mahathir juga dilaporkan berkata penyertaan PPBM dalam Pakatan Harapan bukan lagi berstatus "kemungkinan" sebaliknya ia sudah diputuskan pimpinan tertinggi parti berkenaan.

Menurut bekas perdana menteri itu, PPBM memberi lebih masa kepada Pas bagi membolehkan parti berkenaan memberi pandangan serta berbincang.

Selepas PPBM menyatakan syarat yang dikehendaki, kata Dr Mahathir, Pas pula selepas sekian lama tidak memberi jawapan.

"Hasrat PPBM, jika Pas tak nak sertai Pakatan Harapan, PPBM akan berada dalama Pakatan Harapan. Kalau Pas tak nak, (biar) tak naklah," katanya.

Pada masa sama Dr Mahathir mengulangi pandangan dikongsi hampir semua pembangkang, iaitu BN harus ditentang secara satu lawan satu pada PRU ke-14 nanti.

"Kalau boleh, kita mahu semua lima parti (pembangkang) berada dalam satu pakatan. Tetapi malangnya, Pas mempunyai pendiriannya sekali gus menyukarkan proses penyatuan.

"Pas kata tak akan bersama dalam satu gabungan yang ada DAP dan Amanah. Tapi, tak ada dua parti ini maknanya tak adalah kelima-lima parti yang menentang BN.

"Jadi PPBM sedang cuba untuk meyakinkan Pas supaya dengan adanya Pas dalam gabungan pembangkang, lebih besar kemungkinan untuk menang namun malangnya sampai hari ini tak dapat persetujuan walaupun ada beberapa perbincangan diadakan," katanya.

Menurut beliau, perbincangan sebelum ini diadakan tanpa melibatkan pimpinan tertinggi Pas.

"Perbincangan cuma di peringkat bawahan saja, (Presiden Pas, Datuk Seri Abdul) Hadi (Awang) sama sekali tidak mengambil bahagian dalam sebarang perbincangan, dan hanya diwakili Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Timbalan Presiden) dan Datuk Mustafa Ali (Pengarah PAS pilihan raya).

"Mereka tidak menolak tapi dalam masa yang sama tidak juga menerima," kata Mahathir.

Sementara itu, bekas Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berkata, adalah penting untuk memahami sebab di sebalik keengganan PAS menyertai gabungan pembangkang.

"Kita kena faham kenapa PAS bersikap sedemikian. Kalau kita tak faham dia (PAS), kita akan diheret oleh PAS sehingga tarikh pilihan raya dan kita tetap dalam keadaan tidak bersetuju," kata Husam.

Pada Sabtu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, jika terdapat mana-mana parti pembangkang ingin bekerjasama, mereka perlu mengikut 'cara' partinya.

BACA: Kalau nak kerjasama, kena ikut cara Pas - Hadi