Barisan Nasional (BN) telah dihukum apabila ia hilang kedudukan sebagai Kerajaan Persekutuan, buat pertama kali sejak penubuhannya.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat berkata, majoriti meletakkan kesalahan ke atas 1MDB serta salah guna kuasa oleh pemimpin UMNO.

Jelasnya, sebahagian lagi menyalahkan sikap sombong atau keangkuhan pemimpin terhadap masyarakat umum.

"Sepertimana yang telah saya jangkakan, keinginan yang memuncak sebelum PRU14 itu adalah untuk melihat sesuatu yang mustahil, telah berlaku.

"Pertamanya, menjadi saksi kepada kejatuhan parti yang tertua di dunia. Keduanya, melantik seorang individu berusia 93 tahun untuk kembali ke pejabat Perdana Menteri.

"Namun, pada saat BN mungkin sudah jatuh, UMNO masih lagi kekal sebagai satu parti yang mempunyai kerusi Parlimen terbanyak berbanding parti-parti lain tanpa gabungan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

BACA: Jangan ambil mudah institusi raja - Titah Agong

BACA: Sambut Aidilfitri dengan sifat terbuka - Sultan Nazrin

Ujarnya yang juga calon Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, kisah bagaimana orang Melayu hampir keseluruhan telah menolak UMNO bagi menyokong PPBM cuma sekadar rekaan semata-mata.

Tegasnya, UMNO mempunyai 41 kerusi lebih banyak berbanding PPBM dalam Dewan Rakyat selain 111 kerusi lebih berbanding PPBM di Dewan Undangan Negeri (DUN).

"UMNO masih merupakan parti pilihan di kalangan orang Melayu, jauh sekali terkubur dari segi politik. Ahli-ahli UMNO bawahan harus berwaspada dan tidak perlu gusar. PPBM dilihat sebagai parti Melayu yang lebih baik hanya kerana Perdana Menteri kini dilantik dari parti itu.

"Apa yang mereka tidak sedar ialah Pengerusi mereka, Tun Dr Mahathir Mohamad hanyalah Perdana Menteri minoriti di kalangan gabungan kerajaan di masa kini, yang mana beliau boleh diminta berundur sebagai Perdana Menteri pada bila bila masa sahaja sejurus beliau menyelesaikan apa jua permasalahan awal, termasuk membuang sekutu-sekutu dari rejim terdahulu, dan mewujudkan kerajaan yang berfungsi sepenuhnya untuk Malaysia baharu ini.

"Apabila semua itu selesai, tempoh masa beliau sebagai Perdana Menteri mungkin akan menjadi singkat sekiranya beliau memilih untuk terus kekal dalam Pakatan tanpa sebarang perancangan. Mujurlah Dr Mahathir bukan jenis individu yang tiada perancangan," ujarnya.

Kata Tengku Putra Haron lagi, sementara UMNO dalam tempoh pembetulan pasaran politik, ia juga perlu dilihat sebagai amaran kepada Institusi Raja-raja Melayu di mana mereka juga dinilai dan dikritik secara terbuka oleh rakyat sebagaimana parti-parti politik.

"Kini, seperti mana yang saya jangkakan, individu-individu yang memegang takhta turut diperhatikan rakyat.

"Di bawah kerajaan baharu ini, setiap transaksi perniagaan, serta 'titah' yang dikeluarkan ke atas penjawat-penjawat awam, tidak akan terlepas dari pemeriksaan," jelasnya.

Beliau juga pasti, apabila cengkaman politik mereka mula meluas, penjawat awam akan membelakangkan 'tuan mereka' demi menyelamatkan diri sendiri.

Tambahnya, apatah lagi mereka yang sebelum ini menjalankan tugas di bawah tekanan, akan mula bersuara dan memberi keterangan.

"Di suatu ketika dahulu kaum Melayulah yang paling kuat mempertahankan institusi diraja daripada serangan, namun kini ia sudah luntur sedikit.

"Namun demikian, adalah penting untuk kaum Melayu untuk terus mengekalkan simbol warisan kita, iaitu sistem Raja Berpelembagaan,'' katanya.