“Tenang dan tunggu keputusan.”

Itu nasihat Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kepada Zuraida Kamaruddin sementara menanti keputusan Lembaga Disiplin parti yang dijangka 25 Februari ini.

Saifuddin berkata, Naib Presiden PKR itu perlu tenang dan elakkan dari mengeluarkan sebarang kenyataan kerana dibimbangi akan berlaku percanggahan dengan surat jawapan bertulis yang telah diberikan.

“Kekal tenang. Itu sahajalah. Itu semua di bawah bidangkuasa Datuk Ahmad Kassim, Pengerusi Jawatankuasa Disiplin,” katanya.

Saifuddin diminta mengulas perkara itu selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Jambatan Baharu Serdang di sini hari ini.

Baru-baru ini Zuraida mengesahkan bahawa beliau akan hadir untuk bertemu Lembaga Disiplin Parti untuk memberi penjelasan lanjut.

BACA: Zuraida sahkan kehadiran pendengaran Lembaga Disiplin PKR 25 Feb

Dalam kenyataan itu Zuraida berkata apa yang dimaklumkan kepada beliau Lembaga Disiplin Parti kurang pasti dan kurang faham dan inginkan penjelasan lanjut berkaitan isu terbabit.

Pada 18 Jan lepas, Zuraida diberikan surat tunjuk sebab oleh Lembaga Disiplin PKR dan beliau diberikan masa 14 hari untuk menjawabnya.

Surat itu menyentuh beberapa isu, termasuk ucapannya pada pada majlis makan malam 8 Dis lalu, susulan tindakannya yang didakwa tidak berpuas hari dengan Kongres Nasional PKR.

Susulan itu juga, Zuraida turut mengumumkan bercuti daripada jawatannya sebagai Naib Presiden PKR, bagi tidak mengganggu sebarang proses siasatan yang dijalankan oleh Lembaga Disiplin parti.