Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman memberitahu Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini bahawa jumlah hutang kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan adalah berjumlah RM893 juta sahaja.

Sehubungan itu, beliau menafikan dakwaan pembangkang kononnya kerajaan negeri berhutang RM3.8 bilion dengan kerajaan Persekutuan.

"Semua negeri mempunyai hutang dengan kerajaan Persekutuan termasuklah negeri-negeri pembangkang. Sekiranya diambil data untuk Disember 2015 sebagai contoh, Kelantan mempunyai hutang sebanyak RM1.3 bilion manakala Selangor berhutang sebanyak RM1.03 bilion.

"Jumlah hutang terkini Terengganu bukanlah RM3.8 bilion seperti yang dinyatakan YB Tepoh kerana jumlah yang tepat adalah sebanyak RM839 juta sahaja dan hutang yang wajib dibayar (kepada kerajaan Persekutuan) hanyalah RM502 juta," katanya ketika menggulung titah ucapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada persidangan DUN di sini, hari ini.

Semasa sesi perbahasan, Hishammuddin Abdul Karim (PAS-Tepoh) mendakwa hutang Terengganu dengan kerajaan Persekutuan adalah RM3.8 bilion.

Hishammuddin turut membangkitkan isu kelewatan projek pusat bebas cukai Pulau Bayas dan lain-lain projek pelancongan di Tasik Kenyir.

Ahmad Razif berkata projek tersebut lewat sebanyak 15 peratus berikutan beberapa kekangan termasuk peningkatan paras air tasik melampau sebanyak dua kali dalam tempoh tiga tahun.

"Disebabkan projek-projek di Tasik Kenyir saling berkait, ini menyebabkan kelewatan berlaku dalam projek-projek lain," katanya.

Pada persidangan itu, satu rang undang-undang bagi meminda Enakmen Keluarga Islam Terengganu 1985 dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Negeri Ghazali Taib.

Pindaan itu yang berkaitan dengan urusan pentadbiran kekeluargaan khususnya perkahwinan, perceraian, nafkah, penjagaan dan perkara berhubungan dengan kehidupan keluarga bagi masyarakat Islam di negeri ini kemudian diluluskan sebulat suara oleh anggota dewan.

Speaker Dewan Datuk Mohd Zubir Embong menangguhkan persidangan DUN kepada satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

-- BERNAMA