Rombakan Kabinet dalam kerajaan tidak dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi yang diadakan pada Khamis, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Apabila ditanya sama ada Kabinet akan mempelawa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyertai Kabinet, memandangkan gandingan Dr Mahathir dan Anwar dikatakan serasi, beliau berkata tiada jawatan kosong buat masa ini.

“Kami (Bersatu) tidak membincangkan perkara tersebut dalam parti kami.

“Kerajaan tidak akan membuat perubahan atau penambahan jumlah ahli Kabinet.


“Tiada sesiapa yang mahu meletakkan jawatan dan kami tiada kekosongan. Jika ada kekosongan, kami akan fikirkan calon-calon yang sesuai,” kata Dr Mahathir pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di Yayasan Kepimpinan Perdana pada Khamis.

Pada Khamis lalu, Dr Mahathir mengesahkan bahawa tiada rombakan Kabinet dalam masa terdekat seperti spekulasi yang dibuat beberapa pihak, khususnya media tempatan.

Bagaimanapun, beliau berkata hanya terdapat perbincangan yang melibatkan pertukaran portfolio beberapa menteri.