Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Suhaizan Kayat mengingatkan semua wakil rakyat Johor supaya menjaga tata tertib dan tidak melakukan sebarang provokasi di dalam Dewan ketika perasmian sidang DUN yang dijadual berlangsung Khamis ini.

Pada masa sama, beliau turut menepis dakwaan ramai pihak yang menyifatkan Johor sebagai antara "negeri panas" dan insiden sama yang berlaku di Melaka akan tercetus di DUN Johor.

Sebaliknya, katanya, beliau yakin persidangan tersebut akan berjalan dengan tenang dan lancar.

Ini kerana, tambahnya, persidangan pada Khamis akan ditamatkan selepas Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar melakukan perasmian, selain tiada sebarang usul pada hari tersebut.

"Saya fikir benda (kekecohan) itu tidak akan berlaku, InsyaAllah. Sebab, baginda Tuanku selalu menyebut berkenaan sikap ahli-ahli DUN dan sangat menekankan ketertiban dalam Dewan.

"Setiap kali persidangan, ingatan ini selalu dikemukakan (baginda). Jadi, saya rasa semua pihak akan mengambil maklum perkara ini, penelitian tinggi dan tidak melakukan sebarang kekecohan," katanya, di sini, hari ini.

Pada Isnin, sidang DUN Melaka kecoh dengan kata-kata kesat dan insiden bertikam lidah sehingga memaksa ia ditangguhkan, dipercayai susulan cadangan pertukaran Speaker dan Timbalan Speaker.

BACA: Sidang DUN Melaka kecoh dengan kata-kata kesat, terpaksa ditangguhkan

BACA: Ab Rauf Speaker DUN Melaka baharu

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai usul menyingkirkan beliau sebagai Speaker, Suhaizan memberitahu, sehingga kini, beliau tidak menerima sebarang usul mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, katanya, beliau mengetahui mengenai desas-desus tersebut.

"Saya memang ada dengar maklumat itu. Ia cadangan ahli-ahli Perikatan Nasional dan ahli Dewan dari pihak kerajaan (persekutuan), tetapi sehingga hari ini tiada sebarang rundingan.

"Jadi, saya anggap ia tiada. Dan sebenarnya, SD (akuan bersumpah) ini, dibuat di luar Dewan. Keputusan untuk menentukan kedudukan Speaker atau Menteri Besar, mesti dilaksanakan dalam Dewan," ujarnya.

Terdahulu, timbul khabar angin mendakwa terdapat usaha mengumpul tandatangan dalam kalangan ADUN bagi menyingkirkan Suhaizan.

BACA: Johor laksana PKPB sebagaimana kerajaan persekutuan

BACA: BN Johor dapat majoriti sokongan terajui pentadbiran negeri