Penganalisis politik berpandangan tiada keperluan untuk kerajaan melaksanakan pilihan raya mengejut dalam tempoh terdekat, ketika negara masih berusaha melawan pandemik COVID-19.

Pensyarah politik dan hubungan antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani, berkata keputusan tersebut adalah penyelesaian terakhir sekiranya kemelut politik semasa masih tidak dapat diselesaikan.

Katanya, ketika ini fokus perlu diberikan kepada memastikan kebajikan rakyat.

“Saya rasa dalam konteks itu (pilihan raya mengejut), sekarang ini memamg tidak sesuai untuk diadakan pilihan raya umum dikala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pun perlu mencari mekanisme terbaik macam mana nak adakan pilihan raya. Di Chini lain cerita... (pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan (DUN) kecil, ini satu negara... pilihan raya di kala pandemik.

“Jadi, dalam konteks itu, melihat kepada keadaan itu (pandemik COVID-19), ia mungkin tidak sesuai lagi sekarang,” katanya kepada pemberita di pejabat Sekretariat Majlis Profesor Negara (MPN), di sini pada Khamis.

Namun, Mohd Azizuddin berkata jika ia perlu dilaksanakan, garis masa yang sesuai untuk pilihan raya diadakan adalah pada tahun depan.

“Sekiranya kemelut politik berterusan dan tidak ada jalan penyelesaian dan kita tidak melihat kepada konsep politik Malaysia sahaja, kemungkinan ada keperluan untuk mengadakan pilihan raya.

“Tetapi kita tahu biasanya kemelut yang ada itu adalah jalan terakhir, baru kita buat pilihan raya.

“Sebelum itu kita akan mencari jalan pelbagai penyelesaian yang berasaskan Perlembagaan Persekutuan yang dibenarkan oleh Perlembagaan dan undang-undang,” katanya.

Terdahulu, perbincangan meja bulat berhubung kestabilan politik dan Perlembagaan berlangsung di pejabat Sekretariat MPN, di sini.

Yang hadir dalam perbincangan tersebut ialah Presiden MPN, Profesor Datuk Dr. Raduan Che Rose.

Selain itu, ia turut disertai oleh 15 pakar politik, akademik dan undang-undang termasuk Felo Penyelidik MKN, Dr. Muhammad Asri Mohd Ali; Penganalisis politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Datuk Dr. Ismail Sualman; serta peguam bela dan cara, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.