Tiada sebarang komplot atau pakatan untuk menjatuhkan Perdana Menteri, tegas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Hasil siasatan beliau, tidak terdapat parti komponen Pakatan Harapan (PH) melakukan cubaan untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan digantikan dengan individu lain.

“Tidak benar, kami komited kepada Pakatan Harapan, malah melalui perjanjian yang telah kita semua tandatangani sewaktu ditubuhkan Pakatan Harapan. Yang itu juga kita akan tunai,” katanya ketika mengulas kenyataan bekas Ahli Parlimen UMNO, Hamzah Zainudin yang mendakwa ada ura-ura bahawa ada pihak mahu menjatuhkan Tun Dr Mahathir dengan menggunakan kuasa Parlimen.

BACA: Hamzah Zainudin antara 6 ahli Parlimen keluar UMNO

Sementara itu, Mukhriz turut menyatakan bahawa cadangan untuk mewujudkan atau menggubal Akta Anti Lompat Parti adalah sesuatu yang akan memakan diri sendiri pada masa hadapan.

“Saya ingat yang itu (Akta Anti Lompat Parti) kadang-kadang akan makan diri juga. Perkara itu sudah dibincang banyak kali sebelum ni tetapi bila ada orang lompat parti masuk parti kita sendiri kita tidak bunyi pula.

“Sebab bila untung kita tidak sebut, bila orang lain untung barulah timbul cadangan untuk buat akta anti lompat parti ni,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Back To School Peringkat Parlimen Jerlun bertempat di Pusat Khidmat Parlimen di sini, pada Sabtu.